Konvensyen PMRAM Bukti Kebersamaan Pemimpin
KAHERAH, 4 Nov - Konvensyen PMRAM yang berlangsung di Dewan Solah Abdullah Kamil semalam berlangsung dengan jayanya. Kehadiran dilaporkan seramai 260 pimpinan daripada seluruh cawangan, Kaherah mahupun muhafazah.
Konvensyen tersebut bermula seawal 7.45 pagi dengan pendaftaran para pimpinan. Perasmian Konvensyen PMRAM bermula pada jam 8.45 pagi dengan bacaan suci ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Nik Saifullah, mahasiswa tahun akhir DPM Shoubra.
Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan kasih Pengarah Program, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman yang juga merangkap Timbalan Presiden PMRAM 2010. Beliau menekankan bahawa objektif Konvensyen PMRAM pada tahun ini adalah untuk menyelaraskan kembali gerak kerja dan objektif bagi setiap gerak kerja di peringkat masing-masing.
"Apa yang penting di setiap Cawangan ialah memastikan gerak kerja di peringkat masing-masing dapat diselarakan di seluruh peringkat bagi menjayakan objektif utama di peringkat pusat," tegas beliau.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime. Beliau menekankan konsep 3 S dalam diri kempimpinan iaitu SEDAR, SIKAP dan SISTEM. Bagi seorang pemimpin 3 S ini merupakan eleman utama bagi memastikan pemimpin itu adalah berkualiti dan mampu menggalas amanah dengan sebaiknya.
Konvensyen PMRAM diteruskan dengan Pembentangan Etika yang dikendalikan oleh Setiausaha Agung PMRAM, Saudara Ahmad Taufiq Mohd Dahlan pada jam 9.45 pagi.
Sebanyak 15 etika Lajnah, Badan dan Unit dibincangkan bersama dalam memastikan setiap pimpinan cawangan mampu menguasai etika dengan sebaiknya.
Bahkan Pembentangan Etika pada kali ini adalah berbeza dengan tahun yang sebelumnya dengan melibatkan perbincangan 2 hala, iaitu pimpinan Pusat dan Cawangan akan sama-sama bertanyakan soalan dalam menilai kefahaman mengenai etika yang ditetapkan.
Selepas Zohor, Konvensyen PMRAM disambung dengan slot Talkshow Prioriti Seorang Pemimpin yang dibentangkan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime.
Beliau menerangkan konsep aulawiyat yang mesti dipegang oleh setiap pimpinan dalam menyusun gerak kerja. Hal ini demikian permasalahan yang berlaku pada pimpinan kebelakangan ini adalah disebabkan rapuhnya penguasaan ke atas aulawiyat bagi penyusunan gerak kerja.
Talkshow tersebut diserikan lagi dengan 2 moderator iaitu Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan, Saudara Mohd Faizzudin Ghazali dan Ketua Unit Penerangan Dan Penerbitan HEWI, Saudari Noor Akmaizan Yusof.
Di sebelah petang, persidangan perbincangan dalam slot Bicara Semasa mengenai 2 usul PMRAM dan isu pemusatan mahasiswa/wi di Kaherah. Slot Bicara Semasa tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Program, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.
Laporan berkenaan usul pertama yang berkaitan integriti dibentangkan oleh Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan, Saudara Mohd Farkhan Md Zain dan Ketua Unit Kebajikan Dan Kemanusiaa,Saudari Nor Hasyimah Hassan.
Dalam laporan yang dibentangkan tersebut menunjukkan banyak kes yang berlaku di sekitar mahasiswa/wi yang melibatkan hak dan maruah namun kecaknaan dalam membela dan membantu masih kurang diberikan perhatian bersama. Antara isu kebajikan, pendidikan dan masalah yang melibatkan pihak luar.
Manakala mengenai usul yang kedua mengenai memperkasakan gerak kerja Hisbah dibentangkan oleh Ketua Lajnah dan Unit Dakwah Dan Pembangunan Insan, Saudara Adlan Mokhtaruddin dan Saudari Huriyyah Abdul Mokti dengan membentangkan kes-kes Hisbah yang semakin meningkat di kalangan mahasiswa/wi Islam di Mesir serta permasalahan yang berlaku di dalam Hisbah yang menyebabkan beberapa gerak kerja terbantut.
Mengenai isu pemusatan mahasiswa/wi baru di Kaherah dibentangkan oleh Ketua Lajnah Muhafazah, Saudara Azlan Haji Alias.
Beliau meminta agar semua pihak pimpinan cawangan cakna akan beberapa impak yang berlaku sekiraya perkara ini terus berlaku di samping mengingatkan kembali sejarah di awal pentauzikkan mahasiswa/wi baru ke muhazafah seawal 1991 yang melibatkan penghantaran seramai 18 mahasiswi ke Iskandariah.
Hasil daripada program Konvensyen PMRAM, sebanyak 3 resolusi yang dicetuskan untuk tindakan bersama, hasil perbincangan meja bulat yang membabitkan Presiden, Timbalan Presiden, Timbalan Pengerusi HEWI, Naib Pengerusi HEWI I, Setiausaha Agung, Setiausaha HEWI, seluruh Yang Di-Pertua BKAN serta Pengerusi DPM. Resolusi Tindakan tersebut dibacakan oleh Presiden PMRAM.
Konvensyen PMRAM tersebut diakhiri dengan ucapan kasih Pengarah Program, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman, kalam mutiara Timbalan Pengerusi HEWI, Saudari Norhafiza Abdul Wahab dan dirasmikan dengan amanat emas yang disampaikan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime.
Perasmian penutup tersebut disempurnakan dengan gimik perasmian anak panah dimasukkan ke dalam simbolik hati yang menggambarkan kesatuan antara PMRAM Pusat dan PMRAM Cawangan
Labels:
info pmram