Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, segala pujian hanya layak untukNya, tuhan pentadbir alam semesta. Selawat dan salam buat insan terpilih Nabi Muhammad SAW, para sahabat baginda, serta mereka yang menyelusuri jalannya hingga ke akhir hayat dunia. Terpatri sepotong ayat, kalam tuhan yang berbunyi:
Maksudnya: Orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keredhaan Kami, maka Kami akan membuka jalan seluas-luasnya untuk mereka sampai dan hampir kepada Kami. (Surah Al-Ankabut: Ayat 69)
Saudara-saudari sidang pembaca yang budiman,
Salam motivasi salam inspirasi untuk semua, terima kasih kepada anda kerana sudi membaca nukilan ini, secara tak langsung anda adalah di kalangan yang bertuah. Oleh itu, teruskan membaca. Apabila kita berbicara tentang ilmu, secara tidak langsung ianya bermakna anda sedang memandu diri anda ke masa hadapan. Boleh percayakah bahawasanya kita ini seorang pemandu? Kalau pemandu mesti ada kenderaan yang hendak dipandu, bukankah begitu? Semua orang hendak ke hadapan, tetapi tidak semua orang mampu untuk berdepan. Kalau tidak percaya tengok diri anda sendiri?
Pernah tak kita mengimbau kembali sejarah muda-muda kita dahulu? Adakah kita sudah lanjut usia? Yalah, sebenarnya usia kita semakin meninggi, seiring dengan usia dunia. Masihkah ingat tatkala diri dibawa pergi ke bumi barakah ini? (Mesir negara kesayanganku) Teringatkah kita ketika mana kaki melangkah berat memasuki gerbang pesawat ke Mesir? Dan pada ketika itu siapakah yang paling hiba perasaannya? Renung mata emak, renung mata ayah, tengok gelagat adik-adik. Pastinya sedih bukan? Halaman pipi disinggahi air mata tanda tidak sanggup akan perpisahan bersama keluarga. Masih terngiang-ngiang kata-kata azimat ibu dan ayah kita pada waktu itu? “Anakku… Sudah tiba masanya untuk kita berpisah buat seketika, dan ingatlah anakku sayang, pergimu bukan bererti engkau lepas bebas, tetapi engkau pergi dengan satu tujuan, menunaikan impian semua. Ingat anakku kita bukanlah orang senang, ayah tiada harta untuk ditinggalkan, melainkan ilmu yang engkau ada. Ayah dah bekalkan engkau dengan agama, amalkanlah setiap masa, buatlah apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.
Pesan ibu jangan engkau bazirkan masa dengan perkara yang bukan-bukan, jangan ikut keletah rakan-rakan yang tidak ketahuan, gunakanlah peluang ini kerana ianya datang hanyalah sekali, dan ketika engkau kembali nanti ibu dapat bayangkan betapa bahagianya hidup ini, betapa ringannya bebanan yang ditanggung selama ini, bila kau pulang membawa sebuah kejayaan. Anakku janganlah sesekali engkau mensia-siakankan keringat ibu bapamu yang mengharap”. Dan tatkala itu lidah terkelu tanpa dipaksa, deraian air mata terus mengalir turun membasahi halaman pipi, kelopak mata basah sebak menahan kesayuan. Sedihkan ketika terkenang peristiwa semalam?
Sidang pembaca yang dikasihi,
Ibu ayah tidak pernah mengharap intan permata sebagai balasan penat lelah mereka menyara kita sehingga ke saat ini dan juga tidak pernah meminta walaupun sesen! Cuma apa yang dia harapkan hanya kepulanganmu membawa sebuah kejayaan. Itu saja. Tapi kenapa kita… (Ya Allah… Aku dah tipu ibu ayah aku ya Allah, aku dah khianati mereka ya Allah, aku memberitahu mereka bahawasanya aku belajar di sini. Namun aku telah menipu ya Allah. Aku banyak leka, aku banyak bermain, aku banyak tidur!!! Aku anak derhaka! Aku hanya pandai menghabiskan duit ibu ayahku semata-mata). Wahai azahari azhariah sekalian, mahukah kita digelar sebagai PENGKHIANAT??? Pengkhianat diri, bangsa dan agama? Insaflah diri kita wahai sahabat penuntut ilmu, ketahuilah kita sebenarnya pemikul amanah agama. Semua ini terpundak ke atas bahu kita.
Sahabat-sahabat seperjuanganku sekalian,
Marilah sama-sama kita menginsafi diri kita, mencari kembali tujuan sebenar kita datang ke sini. Tepuk dada tanyalah iman. Datangnya kita ke sini sebagai ikon penuntut ilmu, maka bekerjalah sebagai orang yang dahagakan ilmu pengetahuan dan usahlah sampai kita tersimpang dari landasan sebenar. Perbaharuilah niat kita selalu. Niat belajar untuk mencari keredhaan Allah dan Insya Allah, Dia tak akan mensia-siakan usaha hambanya. Janji tuhan mesti diyakini.
Untuk akhirnya saya menyeru kepada diri saya dan semua mahasiswa-mahasiswi Mansurah, sama-samalah kita berusaha dan berazam untuk merialisasikan sasaran DPMM 2004-2009 agar ia menjadi satu kenyataan. Ayuh kita sedar, sememangnya bahang peperiksaan kian terasa, ombak gementar kian bergelora, detik waktu kian berlalu, impian telah dibina, usaha mesti diteruskan, teruskan memburu kejayaan.
Akhir kalam saya selaku ketua unit pengetahuan dan pendidikan DPMM 08/09 mewakili unit pengetahun dan pendidikan HEWI 08/09, seluruh jentera UKBA dan NADI UKKAZ serta seluruh barisan kepimpinan sesi ini memohon kemaafan atas segala ketelanjuran dan mengucapkan selamat menjalani peperiksaan dengan cemerlang. Cemerlang kita cemerlang bersama.
Sekian.
Ketua
Unit Pengetahuan dan Pendidikan,
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah,
Sesi 2008/2009