Bersyukur kehadrat ilahi kerana dengan limpah hidayat dan sokongan taufiq yang dikurniakan kepada kita, dapatlah kita bersama-sama meneruskan perjuangan dibumi anbiya’ ini. Sedar ataupun tidak kita telah pun hampir berada di bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Menyorot kepada lembaran sejarah menyaksikan dimana bulan ramadhan banyak menyaksikan 1001 keajaiban yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang berfikir.
Antara sejarah yang kita sedia maklum ialah berlakunya peperangan Badar al-kubra. Peperangan ini dimenangi oleh Islam dan inilah kemenangan agung pertama pejuang-pejuang Islam menentang kemusyrikan dan kebatilan. Seterusnya Pada bulan Ramadhan merupakan tarikh pembukaan kota Mekah. Allah Ta’ala memberi kemenangan besar kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan umat Islam dengan pembukaan kota suci.
Justeru itu setelah kita hayati beberapa sejarah yang berlaku marilah sama-sama kita mengambil semangat perjuangan baginda dan para sahabat dalam memenuhkan jiwa-jiwa kita dengan beribadat kepada Allah sebagai persediaan bagi menghadapi bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan.
Sahabat yang dihormati Allah sekalian,
Rentetan kepada bulan ramadhan yang akan kita hadapi, Sejarah yang mungkin kita tidak akan lupa pada hari ini adalah berkaitan dengan peristiwa kemerdekaa Malaysia. Rata-rata rakyat Malaysia akan menyatakan sokongan yang penuh serta menyambut hari tersebut dengan pelbagai gaya dan cara. Namun Persoalan saya,
Apakah yang dimaksudkan kemerdekaan kita pada hari ini? Merdeka daripada belenggu PENGUASAAN POLITIK penjajah, ya benar sekali kita selesai.
Sebagai umat islam, fasa-fasa yang kita pernah lalui sebelum ini berupa merdeka dari memilih akidah, kemudian fasa penguasaan wilayah Islam, dan kemudian kita merdeka dari sudut politik.
Tetapi kita sekarang berada di fasa PENJAJAHAN MENTALITI, atau bahasa arabnya, ghazwul fikr. Bersediakah Mahasiswa untuk memerdekakan dirinya dari belenggu mentaliti bahaya ini?
Sahabat yang dihormati Allah sekalian,
Islam begitu menitik berat akan akidah seseorang muslim, bagi memelihara kesucian islam yang syumul memerlukan akidah yang kuat dan kental. Ianya adalah kesinambungan daripada yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. yang ditegakkan di dalam diri mahasiswa, keluarga dan masyarakat. Kejayaan Islam sebenarnya direalisasikan oleh umat Islam yang terpilih, seperti yang dinyatakan oleh firman Allah di dalam Al-Quran:-
"Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada yang baik (berdakwah), yang menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan." (Ali-Imran : 104)
Yang dimaksudkan dengan aqidah itu ialah menegakkan Tauhid kepada Allah di dalam Ibadah, Syariah dan Nizam. Kerana itu PMRAM yang merupakan persatuan induk di bumi mesir ini bertanggung jawab memegang dan mempertahankan Islam daripada sumbernya yang paling teguh sebagaimana ditnyatakan di dalam undang-undang tubuhnya iaitu berpegangan kepada Al-Quran dan as-sunnah.
Demi merealisasikan agenda yang besar ini iaitu amar makruf nahi mungkar, memerlukan sokongan dan dokongan yang padu dari semua peringkat. DPMM merupakan cawangan kepada PMRAM berusaha mentarbiyah ahlinya untuk mencapai ciri-ciri tersebut. Ianya bukan sekadar mengaku menjadi Islam secara individu, tetapi mestilah berusaha agar cahaya nya menerangi alam dengan meninggikan Islam itu sehingga ke peringkat menyeluruh dan menegakkannya ketahap kekuatan iman yang kental.
Program tarbiyah dan majlis ilmu yang menjadi kegiatan penting persatuan hendaklah menjurus ke arah melahirkan kader-kader yang berkemampuan untuk menyatakan Islam dan menterjemahkan perlaksanaannya ke dalam jiwa mahasiswa. Dengan kemampuan hujah menegakkan Islam dan membatalkan segala ideologi yang menjadi cabaran kini. Kepimpinan mestilah mampu mendedahkan penipuan musuh-musuh Islam sehingga kita dapat menawan hati manusia bersatu atas dasar islam yang sebenar.
PMRAM merupakan proaksi yang bertanggungjawab mendidik mahasiswa serta memberi kebajikan terbaik. PMRAM menolak dan menentang dengan tegas segala yang bercanggah dengannya sama ada dinamakan agama, ideologi ataupun 'isme', dan dengan sikap terbuka menerima segala yang baik walau daripada mana datangnya. Dengan sikap tersebut, Kita mengajak manusia secara individu dan mahasiswa seluruhnya menerima cara hidup Islam secara total. Kita membuka tangan kepada semua mahasiswa Islam yang ingin turut serta dalam persatuan kita. Bagaimanapun kita mempunyai prinsip dan dasar yang perlu dihayati dan dipatuhi oleh semua agar ianya dapat memantapkan keutuhan persatuan yang telah lama dibina.
Kita sekarang ini sedang bergerak dengan penuh yakin membawa misi dan visi menuju ke arah membebas dan menyelamatkan mahasiswa dari belenggu kejahilan. Seterusnya membawa peranan mahasiswa islam seiring dengan peredaran zaman yang kian mencabar. Dengan paras ketaatan kita yang tinggi, InsyaAllah, kita akan mencapai kemenangan.
Firman Allah s.w.t : "Allah akan menolong sesiapa yang menolong (agamaNya) Sesungguhnya Allah maha berkuasa." (Surah Al-Hajj : 40)
Salam Perjuangan
Mohd Fadzli Bin Sa'don
Unit Penerangan Dan penerbitan,
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah sesi 2009/2010