KAHERAH, 27 Okt - Hari pembentangan etika PMRAM anjuran Lajnah & Unit Perancang dan Panitia PMRAM 2011 telah berlangsung dengan baik di Hayyu Asyir pada Selasa yang lalu.
Program yang menghimpunkan seluruh kepimpinan PMRAM peringkat cawangan BKAN dan DPM itu diadakan di dua tempat yang berasingan iaitu AJKT ikhwah di Rumah Terengganu manakala AJKT akhawat di Rumah Selangor.
Program yang berakhir jam 9.00 malam itu diakhiri dengan amanat emas Presiden PMRAM sesi 2011 dari Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman. Beberapa amanat telah disampaikan oleh beliau kepada lebih 300 orang pimpinan PMRAM peringkat pusat dan cawangan.
Dalam ucapan beliau , antara intipati yang perlu diberi penekanan terhadap seluruh kepimpinan ialah sifat-sifat sebagai seorang pemimpin berkarisma yang perlu menjadi wawasan kita semua.
Ulas beliau, empat sifat yang terpenting yang perlu ada pada seorang pemimpin itu ialah :
Pertama : Penampilan yang eksklusif dan tindakan yang inklusif iaitu setiap pimpinan perlu menjaga personaliti sebagai pemimpin dan setiap gerak kerja yang di lakukan mestilah dapat merapatkan hubungan ukhuwah dengan ahli yang pelbagai
Kedua : Pemimpin yang aktif dan bukannya pasif. Ini bermakna setiap pemimpin haruslah seorang yang aktif dalam setiap tindakan dan gerak kerja yang dilakukan.
Demikian juga halnya ketika bermesyuarat dan sebagainya. Mengemukakan idea dan pandangan yang terbaik dalam memastikan perjalanan organisasi semakin releven dan sesuai dengan keadaan.
Ketiga : Sentiasa menepati masa. Katanya lagi, sifat inilah yang agak kurang wujud pada diri pimpinan yang perlu diubah demi melahirkan pemimpin yang berdisiplin dan memahami tugas dan amanahnya sebagai pimpinan.
Keempat : Mampu seimbangkan antara gerak kerja dan ibadah. Tegas Presiden, PMRAM serta cawangannya di peringkat BKAN dan DPM merupakan gerakan mahasiswa Islam yang bukan sahaja melaksanakan program dan aktiviti.
Akan tetapi kita juga merupakan organisasi yang membawa dakwah Islam kepada seluruh golongan mahasiswa. Maka dalam kita melaksanakan gerak kerja ini, pastikan bahawa kita mampu untuk seimbangkan dengan ibadah kepada Allah S.W.T.
Selain itu, beliau juga menegaskan sebagai seorang pimpinan kita juga seharusnya mempunyai jiwa besar dalam melaksanakan amanat selaku pimpinan di samping tidak mengabai dan mengenepikan kualiti akademik .
“ Perlu diingatkan perhimpunan kita pada hari ini adalah demi memastikan seluruh pimpinan memahami dengan baik dasar dan etika gerak kerja agar keselarasan tindakan dalam diatur seterusnya memperkukuhkan gerakan mahasiswa Islam yang terbesar di bumi Mesir ini di seluruh pandangan ahli dan masyarakat Malaysia amnya “, katanya sebelum mengakhiri majlis penutup Hari Pembentangan Etika PMRAM 2011.
KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAHSIAH