[ KALAM PIMPINAN ] UPP HEWI DPMM 2011/2012

بسم االه الرحمن الرحيم.. الحمد لله رب العلمين و الصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين.

     Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang berkuasa menghidup dan mematikan , yang telah memberi nikmat kepada kita untuk hidup hingga ke hari ini dengn nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ahli keluarga Baginda.

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah SWT,

     Sehingga ke hari ini, terlalu banyak isu semasa dan perkembangan dunia Islam yang perlu kita ambil cakna disamping hambatan kesibukan mengulangkaji  pelajaran. Saudara-saudara kita di Syria, Palestin dan terbaru di Myanmar perlukan sokongan dan bantuan dari saudara seakidah mereka.  Sabda Nabi SAW: 

من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
“Sesiapa tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka”.

     Teruskanlah usaha dengan mendoakan mereka, boikot produk-produk yang menyumbang kepada ekonomi  Israel seperti McDonald, Nestle, Coca-cola dan lain-lain serta bersama menginfaqkan harta dan material untuk saudara kita yang dizalimi. Ingatlah, kita sebagai umat Islam diibaratkan seperti satu jasad sepertimana sabda Baginda Nabi SAW :

“Orang-orang mukmin itu ibarat satu jasad, apabila satu anggota badan sakit, maka seluruh jasad turut merasakan sakit dengan demam dan tidak dapat tidur.” (HR. Muslim)

     Justeru, andai hari ini saudara-saudara kita di Palestin , Myanmar, Syria dan lain-lain disakiti kita juga perlu merasai kesakitan dan penderitaan mereka. Andai tidak mampu mengangkat senjata, berdoalah agar mereka diberi ketabahan dan sentiasa mendapat nusrah Allah SWT, disamping berusaha untuk boikot dan infaq.

     Di satu sudut lain, Mesir hari ini telah mencipta sejarah baru apabila Dr Muhammad Morsy diisytiharkan menang dalam pilihanraya Presiden baru-baru ini. Dengan kemenangan berpihak kepada rakyat yang mendokong revolusi 25 Januari 2011, diharapkan dapat memberi sinar kemenangan Islam diseluruh dunia. Mudah-mudahan tiada lagi sekatan untuk rakyat Palestin menerima bantuan luar, kapal-kapal yang memberi  bantuan kepada rejim Basyar Al-Assad dapat di sekat dan rakyat Mesir dapat menikmati keselesaan hidup yang selama ini tidak diberi hak sewajarnya oleh pemimpin mereka.

     Sebahagian daripada kita telah selesai menjalani peperiksaan akhir bagi sesi pengajian 2011/2012. Tidak kurang pula yang masih bertarung menghabiskan saki baki madah dalam imtihan yang menuntut mujahadah. Alhamdulillah, bersyukurlah andai kita dapat memanfaatkan masa, ruang dan peluang yang ada untuk mencari keredhaan Allah SWT. Dr Yusuf Al-Qardhawi menetapkan, sebagai syabab al-muslim kita bertanggung jawab untuk : memahami Islam secara sahih, beramal dengannya, berdakwah (mengajak manusia) kepada Islam dan bersatu dibawah lembayung Islam.  

     Adakah kita selaku orang yang telah memahami ajaran Islam telah beramal dengannya, seterusnya berdakwah dan menyatukan diri dalam sebuah organisasi Islam? Semoga kita menjadi antara umat Islam yang memberi manfaat kepada orang lain dan menginfakkan diri dalam perjuangan menegakkan Islam. Sungguh, terlalu banyak janji Allah SWT bagi orang yang berjihad dan menginfakkan diri dalam jalan perjuangan ini. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.(Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? 
Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” [al-Taubah 9:111]   

     Justeru, masih adakah ruang dan peluang untuk kita mensia-siakan masa muda yang berharga ini dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada agama dan ummah? Tepuk dada, tanyalah iman.

Wallahua’alam.


Oleh :
Siti Nuur ‘Ain Sahleha bt Zaharuddin,
Unit Penerangan & Penerbitan HEWI DPMM 2011/2012


MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger