Peranan Daei Dalam Membawa Hala Tuju Ummah

Firman Allah SWT :

ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون
“Hendaklah ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru manusia kearah kebaikan, menguatkuasakan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kejayaan”. [ Surah Ali-Imran : 104 ]
 
Tutur bicaranya yang sopan dan berhikmah tinggi mampu menyentuh pada setiap yang mendengarnya, dan akhlaknya yang sangat terpuji pasti terpesona mata yang melihat. Itulah pemimpin umat akhir zaman, Muhammad Rasulullah  SAW contoh terulung sepanjang zaman.
 
Hidupnya penuh ranjau berduri dalam membawa amanah Allah SWT di muka bumi ini. Dirinya dihina, dikeji dan dicerca namun tidak pernah melunturkan sedikit pun usahanya dalam menyebarkan dakwah. Tugasnya membawa umat menuju keredaan Allah SWT.
 
Hari berganti hari, bumi terus dimamah usia. Usah leka duhai pemegang amanah Allah SWT. Sesaat terlena umpama bertahun lamanya. Sejarah menyaksikan bagaimana junjungan mulia Rasulullah SAW membentuk peribadi muslim di awal penyebaran dakwahnya. Begitulah kita hari ini, tanggungjawab yang sangt besar perlu digalas sebagai penyambung mata rantai dakwah ini. Ia adalah amanah Allah SWT buat makhluknya yang bergelar manusia.
 
 
Imam Syahid Hassan al-Banna ada menyebutkan tentang 10 sifat yang perlu ada bagi setiap individu muslim yang unggul adalah :
 
1. Aqidah yang sejahtera
2. Ibadah yang sahih
3. Akhlak yang mantap
4. Mampu bekerja
5. Berpengetahuan luas
6. Tubuh yang cergas
7. Mampu melawan nafsu
8. Teratur urusannya
9. Sangat menghargai masa
10. Bermanfaat kepada orang lain
 
 
Akhir zaman ini memperlihatkan kita tentang keadaan umat Islam yang semakin leka dan alpa tentang nikmat dunia. Lebih malang lagi, mereka terperangkap dalam kejahilan yang melampau. Hanya sedikit sahaja menjadi pewarisnya yang sanggup untuk memikul amanah ini. Ramai yang tidak sedar akan peranan dan ganjarannya. Tiada yang lebih baik melainkan kerja dakwah di jalan Allah SWT. Sepertimana yang dijelaskan dalam firman Allah :
 
و من أحسن قولا ممن دعا إلى الله و عمل صالحا و قال إنني من المسلمين
“Dan siapa lagi yang terlebih baik perkataannya berbanding orang yang mengajak ( manusia ) kembali kepada Allah dan beramal dengan amalan yang soleh dan berkata sesungguhnya aku sebahagian dari kalangan orang – orang menyerah diri ( Islam )” [ Surah Fussilat : 33 ]
 
Sabda Rasulullah SAW:
 
مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيءٌ وَ مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَ وِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيءٌ
“Barangsiapa yang “ menunjuk jalan ” di dalam Islam dengan kebaikan maka baginya pahalanya ( sendiri ) dan pahala orang yang beramal dengan kebaikan itu selepasnya tanpa mengurangkan pahala mereka sedikit pun dan barang siapa yang “ menunjuk jalan ” di dalam Islam dengan kejahatan , ia menanggung dosanya ( sendiri ) dan dosa orang yang beramal dengan kejahatan itu selepasnya tanpa mengurangkan dosa mereka sedikitpun”.
 
Asas pentarbiahan yang kukuh menjadi tunggak dalam pembentukkan individu. Bukanlah hanya sekadar kecemerlangan akademik yang menjadi keutamaan, tanpa kefahaman yang jelas dan syakhsiah yang baik.
 
Sekiranya masyarakat hari ini sedar, pasti akan lahirnya lebih ramai generasi pelapis yang mampu menjadi ansorullah di muka bumi Allah SWT ini. Golongan pemuda yang kita harapkan menjadi barisan pelapis amatlah sangat sedikit.
 
Keadaan ini amat menyedihkan sekiranya berterusan tanpa usaha-usaha untuk memulihkannya. Penerapan konsep tarbiah yang sebenar mampu melahirkan generasi Rabbani yang sanggup melaksanakan gerak kerja Islam tanpa sebarang alasan. Persiapan seorang daie perlulah sempurna dalam pelbagai aspek terutamanya ilmu pengetahuan dan kemahiran.
 
Pengetahuan yang mendalam sangat penting buat insan yang bergelar pendakwah kerana ilmu asas penting dalam menghadapi ancaman yang pelbagai dewasa ini.
 
Kehidupan seorang insan yang bergelar pendakwah sentiasa akan dipenuhi dengan ujian-ujian yang mencabar jiwa dan hati. Ianya datang silih berganti menemui hambaNya. Mana mungkin jiwa yang rapuh dan lemah mampu untuk mengharunginya. Jiwanya terus diasak bertubi-tubi.
 
Namun, hebatnya kasih sang pencipta, tidak dibiarkan hambanya sendirian, al-Quran penawar jiwa menjadi teman setia dan sirah nabawiyah menjadi bekalan sumber kekuatan sebagai rujukan.
 
Dewasa ini menyaksikan manusia sibuk mengejar kemewahan, semakin lupa saudara-saudaranya dan kezaliman semakin berleluasa. Di manakah dia yang bergelar muslim dan muslimah yang menjadi tunggak dalam sesebuah negara.
 
Justeru, kesedaran dalam diri adalah sangat penting agar tugas ini digalas oleh semua dalam menjayakan agenda Islam itu terus tertegak di muka bumi Allah SWT. Semua golongan perlulah bersatu dalam menjayakannya.
 
"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"
 
Siti Sarah binti Bushari
Naib Pengerusi HEWI II,
(Ketua Unit Dakwah & Pembangunan Insan)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012
Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger