Kalam Pimpinan DPMM sesi 2007/08(4)

Assalamualaikum w.b.t

Salam mahabbah buat anak-anak Mansurah,

Syukur ke hadrat Ilahi yang menyinarkan Islam dan iman ke dalam dada kita dengan dipandu oleh suluhan cahaya al-Quran dan as-Sunnah. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pembawa rahmat meliputi segenap penjuru alam semesta.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa rahmat sekalian alam"

Sahabat-sahabat seperjuangan,

Sedarkh kita siapa kita sebenarnya? Di kelompok manakah kita dalam hirarki masyarakat umum? Apakah peranan dan tanggungjawab yang sedia terpundak di bahu kita? Pentingkah keberadaan kita semenjak kewujudan tamadun kemanusiaan di muka bumi ini? Bertimbunkah kerja-kerja yang tertangguh bagi menjulang keizzahan Islam? Terfikirkah kita?

Warga mahasiswa dan mahasiswi Mansurah yang dikasihi sekalian,

"Mahasiswa agen perubah", "Mahasiswa Pembawa Perubahan", "Mahasiswa Bersama Rakyat", dan berbagai lagi ungkapan yang melambangkan kehebatan kelompok mahasiswa. Siapakah mereka itu? Ya, pastinya kita. Tidak dapat dinafikan lagi tittle mahasiswa sentiasa dikaitkan dengan pemuda dan pemudi atau "syabab". Golongan yang sentiasa bersemangat waja, berani menyatakan kebenaran, tegas dengan prinsip sendiri, cergas, aktif dan agresif dalam setiap tindakan. Itulah lambang orang muda. Sedarkah kita?

Terpahat kukuh kalimah "fityatun" di dalam al-Quran sebanyak 10 kali yang diulang-ulang. Begitu tinggi marhalah kelompok pemuda dan pemudi di sisi Islam. Ibnu Abbas meletakkan piawaian golongan muda adalah tidak melebihi umur 30 tahun. Manakala Imam Zamakhsyari pula menghadkan umur bagi seorang pemuda adalah setelah baligh sehingga mencapai umur 32 tahun. Imam Qurtubi menyatakan umur bagi seorang pemuda di antara 16 tahun hinggalah mencecah 32 tahun. Apapun kita selaku golongan mahasiswa telah berada di dalam lingkungan istimewa ini. Tahukah kita?

Tokoh ilmuan terkemuka iaitu Dr Yusof Al-Qardhawi pernah melafazkan ungkapan yang khusus buat mahasiswa dan mahasiswi Al-Azhar sempena sambutan 1000 tahun Al-Azhar. "Di dalam diri setiap para Azhari dan Azhariah perlu ada tiga sifat iaitu jaami'ah, jaami' dan jam'iah."

Tiga sifat ini amat penting untuk dihadam selumatnya oleh setiap mahasiswa dan mahasiswi Azhari yang melabelkan dirinya sebagai daie' sebelum terjun ke dalam lautan masyarakat yang pastinya akan dilambung ombak mehnah dan tribulasi atau tenggelam dek pukulan gelombang maksiat yang menggila di tengah lautan. Jaamiah sememangnya sinonim dengan gelaran mahasiswa. Tidak dinamakan mahasiswa jika tidak mengenal apa itu universiti. Pastinya mejadi tangungjawab seorang mahasiswa menghadiri kuliah, menyiapkan tesis, mentela'ah kitab-kitab, mengkaji dan terus mengkaji mutiara ilmu, menghafal, mengingat dan begitu ghairah dengan majlis-majlis ilmu. Andaikata tindakan kita didapati bertentangan sebagaimana yang disebutkan, layakkah kita digelar sebagai mahsiswa Al-Azhar?

Unsur yang berikutnya ialah jaami' iaitu dalam erti kata lain ialah masjid. Selaku mahasiswa Islam, tidak dapat tidak kita mesti dikaitkan dengan institusi masjid. Ini menunjukkan segala amalan kerohanian perlu serasi dengan diri seseorang mahasiswa Islam. Solat lima waktu seharian di masjid, sekurang-kurangnya menatap al-Quran satu juzuk sehari, mambasahi lidah dengan zikrullah, bersedekah pada tempat yang sepatutnya dan seumpamanya lagi. Namun begitu, itukah hakikat kelompok kita pada masa kini? Masih ada segelintir di antara kita yang belum ' berta'aruf ' dengan tangga masjid dengan alasan letih menapak jauh. Sedangkan kaki yang sama juga yang gagah mendaki Gunung Sinai. Terdapat juga di antara kita yang banyak menghabiskan masa menongkat mata membaca akhbar-akhbar tanah air, tetapi terasa amat berat untuk menatap, meneliti dan menghayati al-Quran sebagai perkhabaran yang benar dari negeri akhirat. Lidah kita masih dibasahi dengan umpatan, kejian, cercaan tanpa memikirkan dosa dan maksiat. Wang zakat atau kiriman ibu bapa dileburkan untuk Marlboro dan Cleopatra yang pastinya tiada sekelumit pun manfaat pada dirinya sendiri, bahkan mendatangkan mudarat kepada orang lain.

Unsur yang ketiga pula menyentuh tentang jam'iah. Unsur ini menjadi begitu asing pada sebilangan kecil kelompok Azhari. Menganggap tidak perlu melibatkan diri dengan urusan-urusan persatuan. Mereka ini tidak pernah mengenal erti persatuan dan mengasingkan diri dalam dunianya tersendiri. Masyarakat sekeliling tidak diambil peduli dan merasa cukup asalkan dirinya tidak mengganggu orang lain dan dia pula tidak diganggu.

Terdapat juga segolongan yang terlalu berminat dengan aktiviti-aktiviti persatuan, namun mereka ini tidak mementingkan perpaduan dan kesepakatan di antara kita. Tanpa segan silu, menubuhkan nadi-nadi yang tidak sepatutnya wujud di muka bumi Mesir ini. Hasutan, tohmahan, ugutan dilemparkan pada batang tubuh PMRAM bagi melemahkan ikatan uhkuwwah di antara ahli-ahlinya yang telah sekian lama tersulam kukuh. Memadai PMRAM sebagai wadah tunggal perjuangan mahasiswa Al-Azhar yang wajib dipertahankan oleh kita semua selagi PMRAM meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai landasan perjalanannya.

Azhari dan Azhariah yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita mengkoreksi diri dan menyedari bahawa tugas kita amat banyak dan berat. Masyarakat di tanah air mandambakan kepulangan kita bagi membimbing dan memimpin mereka ke arah jalan yang telah dilalui oleh para rasul dan anbia' yang terdahulu. Persiapkan diri dengan mutiara-mutiara ilmu dan pengalaman yang bernilai sebelum kepulangan kita nanti. Bak kata seorang ulama di zaman ini:

"Secupak ilmu yang kita pelajari, memerlukan segantang pengalaman untuk diterjemahkan kepada masyarakat".

Sekian, wassalam.



Salam mahabbah dan ukhuwwah, salam perjuangan dan kemenangan.

AHMAD AZRUDDIN BIN MAT ALI,
Timbalan Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah,
Sesi 2007/08.




Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger