Berdoa & Bertawakallah



Semusim telah berlalu dengan pelbagai ujian yang hanya Allah s.w.t maha mengetahui betapa peritnya untuk dihadapi. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, setiap saat berdetik dengan penuh debaran menanti waktu berakhirnya musim itu. Sedar tidak sedar, bahang musim itu berlalu pergi dan hanya belaian syita’ kian menyelubungi diri.

Sejenak merenung hasil usaha yang dicurahkan di medan tempur, seakan merasakan keupayaan diri tidak mampu menatijahkan suatu yang diimpikan. Namun, diri tidak pernah mengaku kalah dalam perjuangan melawan musuh yang bermaharajalela. Sebenarnya kemenangan mampu dikecapi walau seribu halangan mendatang dengan berbekalkan keimanan yang utuh jua mujahadah yang teguh. Keyakinan yang dipasakkan hanya kerana Allah s.w.t perlu disulami dengan perkara –perkara yang membolehkan seseorang hamba itu memperolehi apa yang diinginkan. Bukanlah semata-mata bertongkat dagu tanpa diiringi dengan usaha dalam menuju sebuah matlamat. Fitrah alam telah menetapkan tidak mungkin bagi sesuatu perkara dapat diperolehi tanpa diiringi dengan usaha dan taqarrub padaNya.

Pasti janji Allah s.w.t akan bersama-sama mereka yang berusaha dan memanjatkan doa yang berterusan di samping tawakal yang tinggi. “ Ya Allah, perelokkanlah kesudahan pada urusan kami sekeliannya dan jauhkanlah kami daripada kehinaan dunia dan azab akhirat”.

“Barangsiapa yang takut kepada Allah, maka Allah akan mengadakan baginya tempat keluar (dari kesusahan). Dan Allah akan memberinya rezeki dengan tiada terkira. Barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memeliharanya). Sungguh Allah akan menyampaikan (melangsungkan) urusanNya. Sungguh Allah mengadakan kadar (aturan yang tertentu) bagi tiap-tiap sesuatu”.

- at-Thalaq: 2&3 -

Terbitan semula oleh : UPP DPMM 2011/12


KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

.

Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger