BKKIMM : Kesatuan Yang Wajib Dipertahankan


28 Disember menjadi tarikh keramat buat seluruh anak-anak Melaka Mesir sebagaimana tarikh 26 Disember yang menjadi ingatan saban tahun buat seluruh penghuni dunia lebih-lebih lagi warga Acheh apabila tanah air mereka dilanda ombak besar tsunami yang mengorbankan hampir 200, 000 nyawa penduduknya dan meranapkan sebahagian besar penempatan mereka pada tahun 2004 dahulu.


Hari ini anak-anak Melaka kembali mengenangkan sejarah hitam mereka apabila Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) yang sebelum ini menjadi wadah rasmi kesatuan anak-anak Melaka Mesir telah ditarik pengiktirafannya oleh ayahndanya sendiri iaitu Ketua menteri Melaka pada tanggal 28 Disember 2010 yang lalu.

Namun begitu, tugas sebagai sebuah persatuan yang memberikan kebajikan kepada ahli dalam pelbagai aspek tetap diteruskan walaupun menghadapi pelbagai kesulitan seperti kekurangan sumber kewangan, halangan menggunakan premis untuk program dan lain-lain lagi.

Hasil daripada kesatuan seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) yang bernaung di bawah PMRAM, perjalanan gerak kerja organisasi BKKIMM dapat diteruskan sehinggakan ke hari ini.


Melihat kepada keperitan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh salah satu cawangan PMRAM ini, maka pada Muktamar Sanawi PMRAM kali yang ke-78 yang lalu seluruh perwakilan telah sepakat untuk sama-sama membantu BKKIMM dalam meneruskan kesinambungan perjuangan gerakan dakwah mereka di Bumi Mesir ini.

Usul “ BERSATU MEMPERTAHANKAN KESATUAN BKKIMM ” telahpun diterima sebulat suara dan usaha ke arah memperkasakan BKKIMM terus giat dijalankan.

Inilah ukhuwwah yang cuba diterapkan oleh PMRAM terhadap seluruh cawangan yang bernaung dibawahnya. Di mana saja ada ancaman, di mana saja ada kesusahan dan kesukaran, pasti di situ ada saja pihak yang bersedia membantu.

Sehingga ke hari ini BKKIMM terus maju melaksanakan gerak kerja Islam. Apa yang kita harapkan selagi mana ada mad’u maka selagi itulah gerak kerja di peringkat BKKIMM mesti diteruskan.

Apa yang penting BKKIMM mesti memperkuatkan dalaman ahli-ahli mereka sendiri disamping dengan keutuhan kesatuan yang sedia ada cawangan yang bernaung di bawah PMRAM inilah yang terus menjadi benteng kekuatan dan keteguhan BKKIMM untuk terus bertapak di Mesir ini.

Sehingga ke hari ini BKKIMM telahpun mendapat sumbangan hampir LE 6,000 hasil daripada kutipan di seluruh peringkat cawangan BKAN dan DPM. Selain itu, berkat bantuan daripada BKAN-BKAN , BKKIMM pada hari ini masih lagi mampu melaksanakan program-program dan aktiviti-aktiviti biarpun telah dinafikan hak untuk menggunakan premisnya sendiri.

Apa yang PMRAM harapkan adalah tugas-tugas sebagai sebuah organisasi yang memberikan kebajikan kepada ahli dalam pelbagai aspek dapat diteruskan dengan baik. Justeru setiap pimpinan yang memimpin ketumbukan BKKIMM ini perlu sedar dan jelas akan tanggungjawab tersebut.

Ujian dan halangan dalam membawa mesej Islam ini sentiasa menanti kita dalam perjalanan dakwah Islam. Haridnya 28 Disember pada hari ini bukanlah mengembalikan kita kepada kesedihan dan menjadikan kita ini lemah bahkan ianya adalah satu momentum yang akan menambahkan lagi kekuatan dan semangat yang sedia ada dalam meneruskan agenda Islam ini denga lebih cemerlang dimasa mendatang.


KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH
Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger