بسم االه الرحمن
الرحيم.. الحمد لله رب العلمين و الصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى
آله وصحبه أجمعين.
Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah SWT yang berkuasa menghidup dan mematikan , yang telah
memberi nikmat kepada kita untuk hidup hingga ke hari ini dengn nikmat iman dan
Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para
sahabat dan ahli keluarga Baginda.
Sahabat-sahabiah
yang dirahmati Allah SWT,
Sehingga ke hari
ini, terlalu banyak isu semasa dan perkembangan dunia Islam yang perlu kita
ambil cakna disamping hambatan kesibukan mengulangkaji pelajaran. Saudara-saudara kita di Syria,
Palestin dan terbaru di Myanmar perlukan sokongan dan bantuan dari saudara
seakidah mereka. Sabda Nabi SAW:
من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
“Sesiapa tidak mengambil berat urusan kaum
muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka”.
Teruskanlah usaha
dengan mendoakan mereka, boikot produk-produk yang menyumbang kepada
ekonomi Israel seperti McDonald, Nestle,
Coca-cola dan lain-lain serta bersama menginfaqkan harta dan material untuk
saudara kita yang dizalimi. Ingatlah, kita sebagai umat Islam diibaratkan
seperti satu jasad sepertimana sabda Baginda Nabi SAW :
“Orang-orang
mukmin itu ibarat satu jasad, apabila satu anggota badan sakit, maka seluruh
jasad turut merasakan sakit dengan demam dan tidak dapat tidur.” (HR. Muslim)
Justeru, andai hari
ini saudara-saudara kita di Palestin , Myanmar, Syria dan lain-lain disakiti
kita juga perlu merasai kesakitan dan penderitaan mereka. Andai tidak mampu
mengangkat senjata, berdoalah agar mereka diberi ketabahan dan sentiasa
mendapat nusrah Allah SWT, disamping berusaha untuk boikot dan infaq.
Di satu sudut lain,
Mesir hari ini telah mencipta sejarah baru apabila Dr Muhammad Morsy
diisytiharkan menang dalam pilihanraya Presiden baru-baru ini. Dengan
kemenangan berpihak kepada rakyat yang mendokong revolusi 25 Januari 2011,
diharapkan dapat memberi sinar kemenangan Islam diseluruh dunia. Mudah-mudahan
tiada lagi sekatan untuk rakyat Palestin menerima bantuan luar, kapal-kapal
yang memberi bantuan kepada rejim Basyar
Al-Assad dapat di sekat dan rakyat Mesir dapat menikmati keselesaan hidup yang
selama ini tidak diberi hak sewajarnya oleh pemimpin mereka.
Sebahagian daripada
kita telah selesai menjalani peperiksaan akhir bagi sesi pengajian 2011/2012.
Tidak kurang pula yang masih bertarung menghabiskan saki baki madah dalam
imtihan yang menuntut mujahadah. Alhamdulillah, bersyukurlah andai kita dapat
memanfaatkan masa, ruang dan peluang yang ada untuk mencari keredhaan Allah
SWT. Dr Yusuf Al-Qardhawi menetapkan, sebagai syabab al-muslim kita bertanggung
jawab untuk : memahami Islam secara sahih, beramal dengannya, berdakwah
(mengajak manusia) kepada Islam dan bersatu dibawah lembayung Islam.
Adakah kita selaku
orang yang telah memahami ajaran Islam telah beramal dengannya, seterusnya
berdakwah dan menyatukan diri dalam sebuah organisasi Islam? Semoga kita
menjadi antara umat Islam yang memberi manfaat kepada orang lain dan
menginfakkan diri dalam perjuangan menegakkan Islam. Sungguh, terlalu banyak
janji Allah SWT bagi orang yang berjihad dan menginfakkan diri dalam jalan
perjuangan ini. Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di
antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.(Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai
janji yang benar yang ditetapkan oleh
Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan
Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi
yang lebih menyempurnakan janjinya daripada
Allah?
Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu
jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah
bahawa) jual-beli (yang seperti itu)
ialah kemenangan yang besar.” [al-Taubah
9:111]
Justeru, masih
adakah ruang dan peluang untuk kita mensia-siakan masa muda yang berharga ini
dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada agama dan ummah? Tepuk
dada, tanyalah iman.
Wallahua’alam.
Oleh :
Siti Nuur ‘Ain
Sahleha bt Zaharuddin,
Unit Penerangan & Penerbitan HEWI DPMM 2011/2012
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN