Kalam Pimpinan DPMM Sesi 2007/08(2)

Assalamualaikum w.b.t

Marilah sama-sama kita rafa’kan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya memberikan kesempatan untuk kita merasai nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat penghulu sekalian umat, Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, para sahabatnya, tabi’ tabi’in serta pendokong-pendokongnya yang ikhlas dalam memperjuangkan apa juga keadaan untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-Mu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah dan Tuhan-Mu Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan Qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”.


Sahabat sahabiat yang dirahmati sekalian,

Telah pun kita ketahui bahawa Ilmu dan thaqafah merupakan perkara asas yang paling penting kepada seorang azhari atau azhariah. Oleh sebab itu, kita dituntut untuk menuntut ilmu yang merupakan cahaya yang menyuluh sebagai panduan untuk menyinari kehidupan dunia yang penuh cabaran dan mehnah dan tribulasi. Salah satu cara untuk mendapatkan ilmu dengan cara kita pergi menuntut di pusat-pusat pengajian seperti di Universiti Al Azhar dan sebagainya.


Allah S.W.T telah berfirman:

“adakah ada persamaan bagi orang yang berilmu dengan orang yang tidak mempunyai ilmu”.


Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“kelebihan orang yang berilmu dengan orang yang banyak beribadah (‘Abid) seperti kelebihan bulan dengan galaksi yang lain”.


Telahpun kita ketahui bahawa ilmu itu sangat luas dan mempunyai pelbagai cabang serta tidak akan putus bahkan akan dipelajari sehingga hari kiamat.


Sahabat dan sahabiat yang dirahmati,

Sebagaimana kita sedia maklum, Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah DPMM telah meletakkan sasaran dari tahun 2004 hingga 2009 bahawa, akan berusaha dalam meningkatkan peratus kelulusan akademik ke tahap maksimum, memastikan peratus kehadiran ke kuliah di tahap cemerlang dan memastikan setiap individu melaksanakan konsep belajar berkumpulan (study group). Oleh sebab itu kita sudah berada diambang imtihan, pada kesempatan ini Unit Pengetahuan dan Pendidikan amat berbesar hati dan mengharap kepada sahabat dan sahabiat sekalian supaya kita belajar dengan bersungguh-sungguh dan mengambil peluang yang masih ada sebelum kita memasuki dewan imtihan, dengan peluang yang kita ambil supaya kita dapat merealisasikan impian dan sasaran DPMM tercapai tahun ini insyaAllah.

Sepertimana yang telah disusun oleh pihak PMRAM dan diserapkan mengikut BKAN dan DPM masing-masing. Maka, Unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM pada sesi ini telah pun melaksanakan kelas-kelas tutorial yang mana telah dibantu sepenuhnya oleh Unit Kelas Bimbingan Akademik (UKBA) yang diketuai oleh Ustaz Ikmal Hafif Azmi dan dibantu oleh Ustazah Siti Zaharah Abd Hamid, tujuan kelas tutorial ini dianjurkan tidak lain hanyalah semata-mata untuk membantu sahabat dan sahabiat dalam memahami pelajaran dan membantu pelajar-pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik. Saya berharap supaya sahabat dan sahabiat dapat mengambil peluang dengan sebaik-baiknya dan dapat memberi komitmen yang cemerlang kepada kelas tutorial ini.

Selain itu, saya berharap agar kita sama-sama memenuhi dewan kuliah saat-saat akhir ini, yang mana kebiasaannya pada saat ini Doktor dan Doktoroh akan menghabiskan kitab-kitab dan memberi muqorror imtihan bagi fasa yang pertama ini. Jika kita dapati masih ada sahabat dan sahabiat kita yang masih lena diulit mimpi tolong kejutkan supaya mereka sedar untuk ke kuliah, kerana selain kita mendapat ilmu di kuliah kita juga akan mendapat barakah dari Allah S.W.T insyaAllah.


Sahabat dan sahabiat rakan seperjuangan sekalian,

Selain kita berusaha untuk mendapatkan kejayaan dengan menghadiri kuliah-kuliah dan kelas tutorial, kita juga diingatkan supaya hubungan kita dengan Allah S.W.T tidak terputus bahkan perlu diperbanyakkan lagi, di samping itu juga hubungan kita sesama insan juga perlu dijaga, seperti hubungan kita dengan ahli bait dengan rakan-rakan kita, saya sangat mengharap agar kita sama-sama memahami sesama kita, jangan terus meninggalkan tanggungjawab kita, selaku ahli bait yang mana kita berada di perantauan tanpa ibubapa mahupun tukang kaji, tugasan rumah juga terpundak kepada kita. Jadi, janganlah kita menyerah bulat pada rakan kita supaya memasak dan melaksanakan tugasan rumah setiap hari, sedangkan sahabat kita juga sama-sama akan menghadapi peperiksaan seperti kita jua. Biarlah kita sama-sama berjaya supaya kita dapat merealisasikan impian DPMM.

InsyaAllah Unit Pengetahuan dan Pendidikan akan menganjurkan satu program motivasi sempena imtihan untuk kita semua. Saya amat berharap agar sahabat dan sahabiat dapat menghadiri program tersebut.

Sebelum saya mengakhiri kalam, saya mewakili AJK UPEP DPMM, Unit Pengetahuan dan Pendidikan HEWI dan juga seluruh kepimpinan pada sesi ini ingin memohon seribu satu kemaafan atas kesilapan dan keterlanjuran kata dan mengucapkan selamat menempuh imtihan semester pertama. Kami juga mengharapkan agar kita sama-sama pada tahun ini meningkatkan tahap peratus akademik di tahap yang cemerlang. Cemerlang kita didunia insyaAllah cemerlang juga kita di akhirat.


Bittaufiq wannajah untuk semua.


Salam Perjuangan dari ana,
MUHAMMAD LABIB ABD JALIL
Ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan
DPMM 2007/08
Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger