Kalam Pimpinan HEWI DPMM sesi 2007/08(3)

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dirafa'kan kepada Allah S.W.T kerana dengan inayah dan limpah rahmat serta kurniaan nikmatNya yang tidak terhingga terutamanya dua nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W penghulu segala nabi dan rasul, para sahabat baginda dan tabi'in.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Jika engkau membelanjakan semua yang ada di atas muka bumi ini, nescaya tidak dapat engkau berkasih sayang antara hati-hati mereka, tetapi Allahlah yang mengasih sayang antara mereka sesungguhnya Allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana."


Sahabat-sahabiah yang dikasihi filah:

Sejak akhir-akhir ini, kita menyaksikan ukhuwwah di kalangan kita semakin hari semakin pudar. Di manakah silapnya? Kita sebagai azhariah perlukan kesedaran diri sama-sama dalam menuju ke arah matlamat yang satu. Semoga kita mampu mewujudkan wehdatul fikr dan wehdatul amal demi kebaikan kita bersama dalam mencapai keredhaan Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

" Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudara kamu itu."

Dalam ruangan dan kesempatan ini, ana ingin menyeru agar kita turut sama bergandingan bahu dalam menjaga kesatuan yang ada ini daripada anasir luar yang mahu memecah belahkan kesatuan yang telah terbina sejak lama dahulu. Hanya kesatuan yang dipahat kukuh berlandaskan iman dan taqwa bukan kerana kebatilan pasti mampu menghadapi segala cabaran dan rintangan yang mendatang. Biarpun musuh yang mendatang lebih kuat, namun pertolongan Allah S.W.T pasti akan tiba ke atas golongan yang bergerak di landasan yang benar menuju ke arah jalanNya yang benar dan lurus.

Sahabat dan sahabiah yang dihormati sekalian,

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

" Sesungguhnya Allah S.W.T megasihi orang-orang yang berperang pada jalanNya dengan berbaris-baris, seolah-olah mereka itu seperti bangunan tembok yang rapat."


Namun, kita perlu ingat bahawa setiap kemudahan yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita ini, perlulah kita gunakan sebaik mungkin agar kita tidak terperangkap dengannya dan disoal di akhirat nanti. Oleh itu, rebutlah segala peluang ilmu yang ada di muka bumi ini agar kita tidak menjadi hujah kepada masyarakat apabila kita pulang ke tanah air kelak. Jadikanlah setiap detik waktu yang dihabiskan di sini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai persediaan dan bekalan bagi membawa risalah kebanaran kepada masyarakat di tanah air.

Saidina Ali K.W.H berkata :

" Kebatilan yang bertanzim akan mengalahkan kebenaran yang tidak bertanzim. "

Seterusnya, buat semua sahabat sahabiah sekalian. Berikanlah kerjasama dan sokongan anda sepenuhnya kepada kami barisan pimpinan DPMM 07/08 kerana tanpa kalian maka kesatuan yang telah kita bina selama ini akan musnah di telan zaman dan tidak akan tercapai.


Sahabat sahabiah seperjuangan sekalian,

Akhirnya, sahutlah seruan al-Hakim sebagai satu dorongan kepada kita semua dalam menjana generasi Islam di akhir zaman ini yang berbunyi :

" wahai pemuda! Setiap fikrah hanya akan berjaya apabila diperkuatkan dengan iman, dilengkapkan dengan ikhlas yang mendalam untuk memperjuangkannya, ditambah dengan semangat yang berkobar-kobar dan persediaan yang rapi untuk beramal dan berkorban dalam perlaksanaannya. "


Salam perjuangan dan salam ukhuwwah.


Sekian, terima kasih.


I'dat min

Nor Azah binti Aziz
Naib Pengerusi 1 HEWI
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah
Sesi 2007/2008
Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger