INFO MANSURAH (Unit Penerangan & Penerbitan DPMM 07/08)

Tajuk : Imbau - Sejarah Bulan Islam
Penulis : Siti Norhanum Mohd Zain


TAHUKAH ANDA DI SEBALIK RABIUL..

Bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Nabi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W telah diputerakan pada bulan ini iaitu pada 12 Rabiulawal, yang pada tahun ini jatuh pada 19 Mac 2008. Berbagai acara sambutan diadakan bagi memuliakan hari keputeraan junjungan kita ini.



Pengertian Rabiul Awal


Bulan Rabiulawal bermaksud bulan di mana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka, nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah S.A.W telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.



Peristiwa Penting


Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan antaranya ialah;


1)
Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah S.A.W. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun Gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal pada setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah.

2)
Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Pada bulan Rabiulawal inilah Nabi S.A.W diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi S.A.W berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

3)
Hijrah. Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah, pada ketika itu disebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

4)
Peperangan. Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah S.A.W di antara tentera Islam dan tentera kuffar. Antara peperangan yang berlaku pada bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan ( Badar pertama ), Bawat, Zi Amar ( Ghatfan ), Bani an-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

5)
Wafatnya Muhammad Rasulullah S.A.W. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah R.A dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

6)
Abu Bakar R.A menjadi khalifah pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar R.A di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah S.A.W yang diketuai oleh Saidina Ali R.A Ahli Bait Rasulullah S.A.W.

7)
Pembukaan Iraq. Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid R.A telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq pada zaman Saidina Abu Bakar R.A.

8) Pembukaan Baitul Muqaddis. Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

9)
Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol. Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Membesarkan Maulidur Rasul

Kita dapat melihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad S.A.W, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah S.W.T terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah S.W.T akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: " Barangsiapa yang membesarkan hari keputeraanku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah." Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A berkata: " Barangsiapa membesarkan Maulud Nabi S.A.W, maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga." Begitu pula As-Sirri As Saqati berkata: " Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulud Nabi S.A.W sesungguhnya dia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana dia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah S.A.W."


Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Jalalaludin as-Sayuti berkata: "Barangsiapa antara orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi S.A.W, nescaya Allah S.W.T akan menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan, bala, penderitaan, kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan apabila dia mati, Allah S.W.T akan memudahkan dia menjawab akan soalan-soalan Mungkar dan Nakir dan dia akan mendapat tempat bersama orang-orang yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar Kerajaan-Nya."

Beliau berkata lagi: " Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi S.A.W melainkan malaikat-malaikat melindungi ahli-ahli tempat itu dan Allah S.W.T akan melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka dan malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibril, Mikail, Israfil mendoakan kebaikan bagi orang-orang yang menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis Maulid Nabi S.A.W itu."


Hukum Menyambut Maulidur Rasul

Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid'ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.

Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah S.A.W ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Antara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Malik Muzhaffar Abu Sa'id penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang. Antara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah;

1)
Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah'. Antara lain beliau menyatakan bahawa; " masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah S.A.W. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya."

2)
Imam Jalaluddin as-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail' , menyatakan; " Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah S.W.T. "

3) Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani ( 1953 ) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa " dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi S.A.W."

Rabiul Akhir

Bulan keempat dalam kalendar Hijrah.


Pengertian Rabiul Akhir

Bulan Rabiul Akhir ini bermaksud bulan di mana berakhirnya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiul Akhir pokok buah-buahan mula luruh dan seterusnya reput. Maka nama bulan ini diambil sempena musim luruh tanaman mereka.

Peristiwa Penting

1)
Peperangan di Najran pada tahun ketiga Hijrah.

2)
Pengusiran Yahudi Bani an-Nadhir dari Madinah pada tahun keempat Hijrah. Rasulullah S.A.W pergi ke perkampungan mereka untuk meminta bantuan bagi menebus kematian dua orang dari kabilah Bani ‘Amir yang telah dibunuh oleh ‘Amr bin Umaiyah Ad Dhumariy. Kumpulan Yahudi tersebut adalah sekutu Bani ‘Amir dan mereka berjanji untuk menolong Nabi S.A.W di dalam penebusan bayaran itu. Dengan itu mereka meminta Baginda S.A.W supaya duduk menunggu di dalam dewan untuk dihidangkan makanan tetapi di sebalik permintaan tadi mereka bersepakat untuk melakukan pembunuhan ke atas Rasulullah S.A.W. Huyai bin Akhtab seorang pembesar mereka telah mengarahkan supaya dicampakkan ke atas Baginda S.A.W seketul batu besar dari bahagian atas dewan yang Baginda S.A.W sedang berehat di bawahnya. Tetapi Allah S.W.T telah menceritakan kepada Nabi S.A.W tentang kehendak kaum Yahudi tadi dengan diutuskan wahyu kepadanya S.A.W. Lalu Baginda S.A.W keluar dari tempat tersebut pulang ke kota Madinah seraya menghantar perutusan kepada mereka supaya keluar dari Madinah kerana mereka telah melanggari perjanjian damai bersama Nabi S.A.W. Nabi S.A.W beserta para sahabat telah mengepung perkampungan mereka selama 15 hari sehinggalah mereka keluar dari Madinah. Mereka telah memusnahkan kesemua rumah mereka semasa kepungan itu manakala tentera Islam memusnahkan dan membakar apa yang berada berhampiran dengan mereka. Akhirnya Kaum Yahudi bersetuju untuk keluar dari Madinah dengan dijamin keselamatan jiwa mereka dan dibolehkan membawa makanan dan pakaian tanpa senjata. Kebanyakan mereka keluar menunggang 600 ekor unta menuju ke perkampungan Khaibar manakala sebahagian lagi menuju ke negeri Syam. Harta rampasan mereka telah dibahagikan oleh Rasulullah S.A.W kepada kaum Muhajirin Makkah sahaja tanpa kaum Ansar dengan persetujuan mereka. Nabi S.A.W berdoa pada hari itu untuk kaum Ansar dengan kata Baginda S.A.W : “ Ya Allah rahmatilah al Ansar dan anak-anak mereka ”. Di situ juga Nabi S.A.W memberi 2 orang dari kaum Ansar kerana mereka amat miskin. Di dalam peristiwa ini Allah S.W.T menurunkan surah al Hasyr.

3)
Peperangan al Ghabah atau Zi Qarad di bawah pimpinan Nabi S.A.W bagi memburu ‘Uyainah bin Hisn dan 40 orang pembantunya yang telah menyerang dan merampas binatang ternakan penduduk pinggir kota Madinah. Tentera Islam dapat mengejar mereka dan membunuh 4 orang daripada mereka manakala yang lain dapat melarikan diri dan meninggalkan binatang ternakan yang telah dirampas tadi.



Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger