Kalam Pimpinan HEWI DPMM sesi 2007/08(5)

Assalamualaikum w.b.t


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahualaihiwassalam,keluarga baginda,ahlul bait dan saterusnya sahabat-sahabat yang menyambung rantaian perjuangan Rasullullah sallallahualaihiwassalam.

Alhamdulillah atas kesempatan yang diberikan oleh Allah Taala untuk sekian kalinya dapat ana mengisi ruangan kalam pimpinan buat tatapan seluruh ahli DPM Mansurah terutamanya juga buat peringatan buat diri ana.

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah Taala,

Pada hari ini kita sebagai mahasiswa dan mahasiswi seharusnya terus mengorak langkah untuk mencapai kemajuan dalam segenap bidang yang diceburi,terutamanya di dalam bidang thaqafah.Tambahan pula,kita sebagai azhariyyun merupakan sumber rujukan utama masyarakat di Malaysia kelak terutamanya masalah-masalah yang berkaitan dengan perihal keagamaan.Jadi,dikesempatan dan kelapangan yang Allah Taala berikan ini dapatlah kiranya kita manfaatkan dengan sebaiknya masa yang dianugerahan ini untuk menggali segala ilmu yang berada di lapangan bumi Ardhul Kinanah ini.

Selain itu,kecemerlangan dalam bidang akademik juga merupakan salah satu pengukur utama di mata masyarakat.Lebih-lebih lagi amanah ilmu yang dipundakkan kepada kita adalah satu wasilah untuk kita terjun di dalam masyarakat.Konsep pembelajaran yang teratur dan bermotivasi adalah satu konsep yang perlu kita pupukkan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.Jadi,memandangkan kita kini berada di ambang peperiksaan,bukanlah kita hanya tertumpu kepada kitab-kitab kuliah,akan tetapi kita perlu juga menjaga hak-hak selaku seorang anak kepada kedua ibu bapa kita,sahabat,rakan serumah, dan yang paling penting hak kita selaku hamba Allah Taala yang dhoif ini.Moga-moga di situ terdapat keberkatan untuk kita selaku “tholibul ilmi’.Berkata Imam ‘Atoillah dalam syairnya,`Di antara alamat kejayaan di akhirat adalah kembali kepada Allah pada permulaan.Barangsiapa yang gemilang awalnya nescaya gemilang pada akhirnya’Kita seharusnya mengambil peluang yang dianugerahkan oleh Allah Taala ini untuk memperjuangkan ilmu-ilmuNya.

Sahabat-sahabat yang dikasihi fillah,

Di kesempatan yang terluang ini ingin ana ingatkan kedatangan kita di Bumi Anbiya’ ini bukan sahaja untuk belajar semata-mata.Bahkan,keterlibatan kita di dalam persatuan juga memainkan peranan penting untuk sama-sama kita memastikan kesatuan yang dibina ini akan terus terjaga oleh generasi-generasi yang akan datang dalam membawa satu wadah.Jadi,suka ana bawa satu kisah atau sirah yang berlaku ketika penghijrahan Rasulullah sallallahualaihiwassalam ke Madinah yang mana sebuah masjid telah didirikan bagi memudahkan umat islam melakukan ibadat dan ia dinamakan Masjid Quba’,tetapi di dalam masa yang sama juga sebuah masjid telah didirikan oleh golongan munafik yang ingkar dengan perintah Allah dan RasulNya untuk menimbulkan kemudaratan kepada orang-orang mukmin dengan membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Dhirar.Maka,Nabi Muhammad sallallahualaihiwassalam menyeru kepada kaum muslimin untuk membakar Masjid Dhirar itu kerana di situ berlakunya perpecahan sesama umat Islam itu sendiri.

Mutakhir kini,kita sering diperkatakan tentang lunturnya ukhuwwah dikalangan ahli DPM ini sendiri yang mana munculnya pelbagai idiologi yang boleh mengganggu-gugat PMRAM yang kita dokongi selama ini.Jadi,ana menyeru kepada seluruh ahli DPM untuk sama-sama kita mengkoreksi diri sejauh manakah sumbangan kita terhadap persatuan ini khususnya dan pada Islam amnya untuk menjaga kesatuan ini terus terjaga dan terhalang dari unsur-unsur yang boleh memecah-belahkan kesatuan ini.Fikirkanlah bahawa semua ideologi ini akan dapat bersatu sekiranya kita betul-betul memahami dan amanah dengan ilmu yang kita pelajari.

Sahabat-sahabiah yang dikasihi sekalian,

Natijah yang dapat kita simpulkan di sini adalah berkenaan dengan beberapa kesinambungan yang perlu kita terapkan iaitu ilmu yang mantap,akhlak yang terpuji dan kesatuan yang jitu mampu memanifestasikan impian Islam ke arah membentuk satu fikrah dan satu amal.Seterusnya dapat mewujudkan kesatuan yang jitu diantara kita yang mana ianya menjadi sumber kekuatan umat Islam itu sendiri.

Buat akhirnya,tidak terlambat untuk ana ucapkan ‘Salam Imtihan’ buat seluruh warga Mansurah khususnya dan warga azhariyyun amnya DARI kami barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa HEWI Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah sesi 07/08.Semoga dengan Shahadah yang akan kita perolehi ini adalah tiket untuk kita memperjuangkan hak-hak Islam itu sendiri.Marilah kita sama-sama merenung sejenak Sabda Rasulullah sallahualaihiwassalam yang mana mafhumnya,istiqomahlah dalam membuat tiga perkara iaitu pertama; mengerjakan solat witir sebelum tidur,kedua; berpuasa 3 hari pada setiap bulan dan ketiga; mengerjakan solat dhuha setiap hari.Mudah-mudahan amalan yang kita lakukan di musim imtihan ini bukanlah amalan-amalan yang bermusim tetapi amalan yang perlu diistiqomahkan dari semasa ke semasa,InsyaAllah.Mohon maaf atas segala salah silap andai ada kata-kata yang menyinggung perasaan sahabat-sahabiah sekalian.Salam Imtihan.

Sirru ala barakatillah..Wassalam



I'dat min

ANSORIAH BINTI ABU BAKAR,
NAIB PENGERUSI II (Unit Perancang) HEWI,
DEWAN PERWAKILAN MAHASISWA/WI MANSURAH,

SESI 2007/2008


Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger