JALINAN '08 MERIAH

head

DPJA, Utubis Jadid, 22 November - Unit Sambutan dan Rehlah (USR) Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah (DPMM) telah berjaya menganjurkan Hari Jalinan Kasih 2008 (JALINAN '08) dengan bertemakan "Jalinan Mesra Kasih Sayang Terbina".

Menurut Ketua USR, Ustaz Abdul Hafiz bin Yusop program yang diadakan adalah dikhususkan kepada mahasiswa-mahasiswi baru untuk menyampaikan informasi yang bermanfaat berkaitan dengan sistem pengajian, keselamatan dan ramah mesra bersama kepimpinan.

4org

"Secara keseluruhan, saya berasa amat berpuas hati terhadap perjalanan program pada hari ini dan bersyukur kerana segala-galanya berjalan dengan lancar," katanya. Ujar beliau lagi, apa yang lebih utama adalah objektif program telah tercapai apabila melihat kepada semua peserta kelihatan gembira dan santai ketika program berlangsung dan juga ketika menyanyikan lagu Jalinan nyanyian asal kumpulan UNIC yang juga merupakan lagu tema program ini.

Majlis yang bermula pada jam 7.45 pagi dimulakan dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran yang telah disampaikan oleh Ustaz Abdullah Fahmi bin Che Nor@Shukri. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program JALINAN '08, Ustaz Ahmad Firdauz Bin Husin. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan "Ahlan Wa Sahlan" kepada semua mahasiswa-mahasiswi baru yang datang ke Perlembahan Al-Ward ini dalam mengutip mutiara berharga sebagai seorang mahasiswa.

"Harapan saya melalui program ini mampu memberikan sesuatu yang bernilai dan berharga kepada seluruh ahli DPMM yang terlibat secara langsung di dalam majlis ini lantas mewujudkan kesatuan sesama ahli-ahli DPMM.

jalinan - rasmi

Seterusnya, majlis disusuli dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi DPMM, Ustaz Amin Taufiq bin Mohd Rifain. Beliau berkata saudara yang jujur akan merasakan saudara-saudaranya lebih utama daripada diri sendiri kerana segala hidupnya bersama mereka. Sedangkan mereka, jika tidak bersamanya akan bersama dengan orang lain.

"Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain umpama bangunan yang saling kuat dan juga memperkuat antara satu sama lain. Diharapkan agar persatuan yang terbina ini dapat menghasilkan pembentukan umat yang terbaik dan pembentukan ini memerlukan sokongan daripada semua pihak serta berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada timbulnya titik perpecahan sesama kita," katanya yang juga turut merasmikan majlis perasmian.

usrah wehdah

Majlis diserikan dengan persembahan oleh kumpulan nasyid Usrah Al-Wehdah yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Dia Kekasih Allah nyanyian asal kumpulan Hijjaz dan Aisyah Humaira' dendangan asal kumpulan UNIC.

JALINAN '08 diteruskan dengan slot Ramah Mesra Bersama Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Ahli Jawatankuasa HEWI (AJKH) DPMM yang secara tidak langsung memperkenalkan barisan kepimpinan DPMM dan sesi dialog.

RAMAH mesra ajkt

JALINAN '08 turut diisi dengan taklimat pekeliling keselamatan semasa oleh Pengerusi DPMM merangkap Unit Perhubungan Luar, seterusnya taklimat unit hisbah yang disampaikan oleh Pengarah Bait Muslim, Ustaz Mohd Nasir bin Hassan. Taklimat kesihatan telah disampaikan oleh Ustaz Adham bin Hodari yang menekankan dari segi aspek gangguan jin serta penjagaan kesihatan spiritual. Manakala Dr. Ikram Bin Ishak telah menyampaikan taklimat kesihatan fizikal. Sesi Taklimat diteruskan dengan taklimat sistem pengajian yang telah disampaikan oleh Ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM, Ustaz Abd Rahman bin Yusoff dan taklimat ini seterusnya dibahagikan mengikut fakulti masing-masing.

ramah mesra - hewi

Suasana di dalam DPJA menjadi sedikit riuh dan bertambah ceria apabila masing-masing terhibur dengan persembahan slide show yang diterbitkan oleh Unit Penerangan dan Penerbitan (UPP) DPMM serta Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) DPMM.

Suasana santai di waktu petang diisi dengan slot Sembang-Sembang Petang yang dikelolakan oleh Ustaz Mohd Yusairi bin Mohd Paid dan Ustazah Noraini binti Salim serta ditemani oleh Ustaz Kadir bin Umar selaku pengulas di dalam slot ini.

Sebelum program melabuh tirainya, majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Naib Pengerusi 1 HEWI DPMM, Ustazah Ansoriah binti Abu Bakar. Beliau mengingatkan agar semua mahasiswa tidak lupa dengan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa lantas mengambil iktibar menerusi tayangan slide show yang dipersembahkan sebelum ini.

sembang²

"Kita selaku mahasiswa pada masa yang sama hendaklah mempunyai sensitiviti terhadap isu-isu yang melanda umat Islam pada hari ini. Hal ini kerana kita adalah harapan masyarakat apabila kita pulang ke Malaysia kelak," katanya.

Majlis berakhir pada jam 5.00 petang dengan solat Maghrib secara berjemaah yang diimami oleh Ustaz Bazli Hazwan bin Che Osman yang turut sama menjadi pengerusi umum bagi majlis ini.

~JALINAN MESRA KASIH SAYANG TERBINA~

"JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH"

Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger