Kalam Pimpinan


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran pujian yang selayaknya ke hadrat Rabbul A’lamin, Tuhan yang mentadbir seluruh alam semesta serta mengurniakan segala nikmat yang tidak terhingga kepada semua makhluk-makhlukNya di dunia ini. Selawat dan salam dihulurkan buat insan yang paling agung, Nabi Muhammad S.A.W yang teramat cintakan umatnya. Tidak lupa juga para keluarga baginda, para sahabat, dan seluruh mereka yang memperjuangkan syia’r islam dengan pelbagai dugaan. Mudah-mudahan Allah menempatkan mereka semua dikalangan orang-orang yang beriman. Amin Ya Rabbal A’lamin.


Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Hari ini Universiti Al-Azhar Ash-Syarif telah menutupi sesi pengkuliahan bagi sesi ini. Mahasiswa/wi sekarang berada dalam fatrah cuti yang agak lama. Tempoh ini sangat bermakna dan bermanfaat buat seluruh siswa dan siswi Al-Azhar. Bagi mereka yang pulang bercuti ke tanah air selamat bercuti dan jalankan tanggungjawab sepenuhnya selaku dae’i (pendakwah) tidak kira dalam apa jua sekalipun. Buat mereka yang akan melancong dan menziarahi ke tempat –tempat sejarah,
semoga dapat mengambil i’tibar, pengajaran dan dapat menyulami sejarah supaya dapat disampaikan sekaligus dapat berkongsi dengan sahabat-sahabat kita yang lain. Mereka yang masih ada di bumi Mesir ini, isilah masa ini dengan sebaik-baiknya.

Firman Allah S.W.T yang mafhumnya:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran” (Surah Al-‘Ashr 1-3).

Jelaslah di sini, amatlah rugi buat mereka yang tidak memanfaa’tkan waktunya yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap hambanya untuk berbakti dalam apa jua sekalipun.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Sedar tidak sedar kita sekarang telah memasuki bulan Rejab, yang mana bulan ini dikatakan satu bulan yang sangat dimuliakan pada Zaman Jahiliyah dahulu. Rejab membawa maksud kebesaran, keagungan, dan kemuliaan. Rejab juga adalah bulan Allah S.W.T. Umat islam hari ini tidak kira mereka yang berada dalam keadaan kemiskinan samaada dari sudut harta benda, makanan dan lain-lain juga berpusu-pusu cuba untuk merebut keberkatan berpuasa pada bulan ini. Mengapakah kita hari ini yang penuh dengan pelbagai kelebihan, berkemampuan, dan penuh kesenangan harta benda tidak cuba untuk berpuasa pada bulan ini???Sesungguhnya berpuasa bulan rejab ini adalah amalan sunat dan ia melatih kita bagaimana kita bersyukur kepada Allah S.W.T. Berpuasa ini juga menguji kita bagaimana mereka yang hidup dalam kesusahan dapat kita turut merasai bersama. Renung-renungkanlah.
Firman Allah S.W.T yang mafhumnya:

“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”(Surah At-Tiin 4).

Sesungguhnya Allah S.W.T telah mengurniakan kepada kita pelbagai nikmat yang kita dapat rasai setiap hari. Amat rugilah buat mereka yang tidak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan itu. Antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada setiap hambanya yang digunakan setiap hari ialah nikmat mata sebagai penglihatan, mulut sebagai percakapan, telinga sebagai pendengaran, hidung sebagai menghidu, tangan, kaki dan lain-lain. Semoga kita semua dapat menggunakan segala nikmat ini sebaik-baiknya disusuli dengan amal yang baik-baik dengan penuh keikhlasan dan niat yang baik kepada Allah S.W.T.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W

"إن الله لا ينظر إلى صوركم وأمواكم , ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم"

“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang pada rupa dan harta kamu, tetapi Allah memandang hati kamu dan amalan kamu”

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Kesempatan yang ada ini jua, selaku barisan kepimpinan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah 08/09, saya ingin mengajak kepada seluruh ahli marilah sama-sama kita membantu persatuan kita tidak kira dalam apa jua sekalipun disamping matlamat kita ke sini untuk menimba ilmu. Melalui persatuan ini juga kita dapat mengambil sedikit sebanyak pengalaman yang mana dapat membantu kita di tanah air kelak. Kita binakan persatuan kita ini tidak kira dalam aspek apa jua sekalipun. Bantulah PMRAM&DPMM. Janganlah kita biarkan persatuan kita ini berpecah belah bak kerana secebis kesilapan yang berlaku. Belajar daripada kesilapan dan pengalaman kerana ianya mengajarkan kita menjadi lebih matang. Disamping ini saya mengajak kepada seluruh ahli, marilah sama-sama kita menjayakan Misi Dana Syaqah PMRAM sebelum berakhir Disember 2009 dengan tema “ Hulurkan Sumbangan Tunaikan Kewajipan”. Jumlah kutipan target hanya LE300 seorang mengikut kadar kemampuan seperti mana makluman yang sedia maklum.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya setiap manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan samaada kesilapan itu besar mahupun kecil. Tidak lama lagi akan berakhirlah tapuk kepimpinan sesi 08/09 dan akan berganti dengan kepimpinan baru. Jadi, bukanlah ini bermaksud tanggungjawab semua akan berakhir, bahkan tanggungjawab semua masih berterusan sehingga akhir hayat kita.



Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya setiap kepimpinan kamu”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari, Muslim Abu Daud, Al-Tirmizi dan Ahmad).


Harapan saya agar seluruh barisan kepimpinan termasuk diri ini dapat menjalankan amanah ini sebaik mungkin dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Disamping itu, kepada seluruh ahli dan sidang pembaca saya berharap agar kita semua dapat menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah (pemimpin) di atas muka bumi ini sebaik mungkin. Samaada Imam (Ketua Negara), Suami (bapa), memimpin diri sendiri, dan lain-lain supaya sentiasa berada dalam jalan yang lurus dan diredhai Allah S.W.T. Buat yang terakhir, saya rasa cukuplah sekadar ini sedikit sebanyak kalam ucapan saya.

Saya memohon beribu kemaafan kepada seluruh barisan kepimpinan sesi 08/09 serta seluruh ahli jika sepanjang saya memegang kepimpinan ini terdapat kesalahan mahupun tutur bicara. Terima kasih tidak terhingga buat mereka yang terus menyokong PMRAM&DPMM. Semoga jasa dan bakti yang dicurahkan hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat menghitungnya. Tidak lupa juga kepada Pengarah mmc groups yang mengizinkan kalam ucapan saya di dalam blogger DPMM buat kali ini, semoga jasa kalian diberkati Allah. Setakat ini sahaja yang dapat saya ukirkan, semoga bacaan ini dapat memberi sedikit sebanyak pengajaran dan i’tibar buat kita semua. Sekian, terima kasih. Wallahua’lam.

“Julang Thaqafah Bakti Dicurah”

“Salam Perjuangan Dihulurkan”
“Salam Kasih buat PMRAM&DPMM”
“Salam Manis buat ahli DPMM”

Membangun Bersama Panji-panji Islam,

Mohd Alif Junaidi Bin Haji Abdullah
Timbalan Setiausaha Agung
(Unit Kebajikan Dan Kemanusiaan DPMM 08/09)

Share this article :

+ comments + 1 comments

July 4, 2009 at 3:57 PM

Assalamualaikum..

Manis senyuman ust alif..hehehe..syabas kepada semua pimpinan..

Post a Comment
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger