Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian,
Setiap manusia menginginkan kejayaan, dan setiap kejayaan memerlukan usaha, namun sebanyak mana usaha yang telah kita lakukan demi meraih sebuah kejayaan? Marilah sama-sama kita mengkoreksi diri, memuhasabah kembali setiap usaha yang kita lakukan adakah benar-benar berbaloi dengan kejayaan yang ingin kita kecapi. Masanya semakin hampir, bahangnya juga semakin terasa namun persiapan yang perlu masih lagi belum dilaksanakan. Oleh yang demikian, pergunakan masa dan manfaatkan peluang yang ada sebelum bermulanya perjuangan. Kenang kembali janji kita pada ibu bapa, balaslah segalanya dengan sebuah kejayaan. Jangan berundur selepas melangkah jangan kembali selepas berganjak, kita membawa panji perjuangan pantang mengalah sebelum berlawan.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Menjelang peperiksaan yang semakin hampir, bermulalah episod perjuangan. Dalam memastikan kejayaan yang ingin kita kecapi kadangkala meruntun kepada sebuah pengorbanan, kadangkala berhadapan dengan tekanan namun setiap usaha yang dilaksanakan kadangkala mengundang kekecewaan. Oleh yang demikian setiap langkah yang kita lalui perlulah diberi keazaman yang kuat dan matlamat yang jelas semata-mata untuk meninggikan Agama Allah S.W.T. Maka dengan keazaman dan keyakinan yang ada, tidak mudah mematahkan semangat ketika gagal dan tidak lunturnya kekuatan ketika rebah. Kerana setiap usaha yang dilakukan dan pengorbanan yang diberikan pasti dinilai oleh Allah S.W.T sebagai amal hasanah demi memastikan kejayaan kita di akhirat nanti.
Sahabat-sahabat yang disayangi Allah sekalian
Pelbagai usaha yang telah dilakukan di peringkat Unit Pengetahuan dan Pendidikan samada dari sudut menganjurkan kelas UKBA, melaksanakan kelas Tafaqquh, mengadakan program Motivasi Kecemerlangan dan lain-lain. Segala usaha ini dilaksanakan semata-mata ingin meningkatkan pengetahuan dan kecemerlangan dalam kalangan ahli DPMM. Hari ini, kami telah melancarkan Kempen Sifar Rasib, demi merealisasikan kempen tersebut memerlukan kerjasama semua pihak. Kita perlu tanamkan di dalam jiwa, bahawa Mumtaz itu bukan mustahil dan kejayaan itu pasti milik kita. Buat akhirnya marilah sama-sama menyambut seruan marilah menuju kejayaan kerana kejayaan itu akan memberi sumbangan yang besar kepada diri sendiri, keluarga dan yang paling penting untuk agama tercinta.
Disediakan Oleh
Muhammad Fadzli Bin Sa'doon
Unit Pengetahuan Dan Pendidikan,
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah 10/11