KAHERAH, 18 Okt - Seorang mahasiswa Kelantan yang telah ditahan pihak polis Mesir ekoran tiada visa telah pun dibebaskan pada 16 Oktober, Ahad lalu.
Mangsa yang bernama Ibrahim Abdul Hamid ditahan pada 9 Oktober di kawasan persekitaran Restoran Arabiyata ketika mahu menaiki van sewa menuju ke Hayyu Asyir.
Penangkapan beliau dikenalpasti adalah kerana visa telah tamat tempoh.
Selain beliau, mahasiswa-mahasiswa berbangsa asing juga telah ditangkap oleh polis Mesir.
PMRAM bersama-sama dengan Pegawai KPKM, Haji Nik Hamdi Ghazali setiap hari membuat urusan di Mujammak Tahrir bagi membebaskan mangsa.
Selain itu, pihak kedutaan juga telah menghubungi pihak keselamatan Mesir bagi membincangkan isu ini.
Wakil kedutaan, En Abdul Latib juga telah turun ke tempat urusan dibuat serta telah diberikan keizinan oleh pihak polis Mesir bagi berjumpa dengan mangsa.
Antara tindakan lain,PMRAM bersama-sama Pegawai KPKM juga telah membuat urusan di kuliah Al-Azhar bagi mendapatkan pengesahan pengajian mangsa sebagai bukti sokongan bagi mangsa untuk dibebaskan.
Hasilnya, mangsa telah dibebaskan oleh pihak polis Mesir pada 16 Oktober baru-baru ini setelah mangsa ditahan selama seminggu di dalam lokap.
"PMRAM mengucapkan terima kasih kepada Pegawai KPKM serta pihak kedutaan atas usaha yang telah dilakukan bagi membantu mangsa. PMRAM juga sentiasa optimis dalam menjaga kebajikan mahasiswa/wi Islam Malaysia di Mesir kerana ia adalah agenda terbesar PMRAM," ujar Presiden PMRAM.
Presiden PMRAM juga turut mengingatkan agar mahasiswa/wi Islam mengambil cakna dengan pekeliling keselamatan yang telah dikeluarkan oleh PMRAM pada 10 Oktober baru-baru ini.
KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAHSIAH