Laporan Kolokium Ilmuan (Q) siri 3 & 4


DPJA– Pada18 dan 19 Januari 2012 bersamaan 24 dan 25 Safar 1433 Hijrah Unit Jabatan Muzakarah Berkelompok dibawah Unit Dakwah dan Pembangunan Insan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah sesi 2011/2012 telah menganjurkan Kolokium Ilmuan (Q) siri 3 & 4 yang bertempat di Dewan Persada Jazirah Al-Ward, Utubus Jadid. Program ini diadakan khusus untuk mahasiswi-mahasiswi baru bertujuan untuk menjelaskan kepentingan tentang amal islami sebagai mahasiswi Islam, mengukuhkan persediaan mahasiswi dalam mendepani cabaran dan menyemai rasa cinta kepada persatuan. Program ini telah dijalankan selama 2 hari, bermula pada hari Rabu bertarikh 18 Januari 2012 dan berakhir pada hari Khamis 19 Januari 2012.

Program yang bermula pada jam 4.00 petang dengan dihadiri oleh 28 orang peserta termasuk seorang daripadanya adalah dari pelajar tahun 4 perubatan Universiti Mansoura. Pembukaan majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Ustazah Nurul Hidayah binti Mohd Arsyad dengan menggunakan riwayat Imam Warsy dan beserta asbabun nuzul ayat tersebut. Acara perasmian bermula dengan ucapan dari pengarah program iaitu Ustazah Nurul Farhana Binti Hamdan dan seterusnya dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Fazdli bin Sa’doon, selaku Setiausaha Agung DPM Mansurah sesi 2011/2012.

Bertemakan “Ke Arah Generasi Rabbani”, program dihangatkan dengan diskusi kitab ‘Hatta Ya’lama Asy-syabab’karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan yang menampilkan Ustaz Mohd Adham bin Hodari, mantan Penasihat DPMM. Slot seterusnya, pembentangan kertas kerja pertama oleh Ustaz Muhamad Hakim bin Azizan, mahasiswa Qiraat tahun 3, Maahad Qiraat Shoubra membentangkan kertas kerja ‘Memahami Konsep Amal Islami’. Para peserta telah memberikan respon yang baik dalam sesi soal jawab kedua-dua pembentang tersebut. Program diteruskan dengan gerak kerja berkumpulan (GKB) yang diberi nama ‘Peranan Pemuda’ dan ‘Kolam Kehidupan’.

Pada hari kedua, program dimulakan dengan qiamullail secara berjemaah dan diimamkan oleh para peserta yang telah ditaklifkan. Selepas selesai Solat Subuh berjemaah dan bacaan Mathurat, para peserta dihidangkan dengan santapan rohani. Pentazkirah dipilih dari kalangan peserta iaitu Anis Amira bt Zulkefly, pelajar tahun 4 perubatan.Program diteruskan lagi dengan sedikit senaman ringan dan kemudiannya para peserta dihidangkan dengan persembahan khas daripada AJK HEWI DPM Mansurah sesi 2011/2012.

Program diteruskan dengan pembentangan kertas kerja kedua oleh Ustaz Farid Faizi bin Azizan, Mahasiswa Qiraat tahun 2, Shoura yang bertajuk ‘Jahiliyyah Zaman Moden’, Slot terakhir pembentangan kertas kerja ‘Kenali Musuh-musuh Islam’dibentangkan oleh Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir. Selesai sesi soal jawab, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan gerak kerja berkumpulan (GKB). Dengan adanya pengisian berperingkat yang telah digariskan oleh PMRAM, bermula daripada Q pertama sehingga kali ini telah membuka pemikiran peserta akan kepentingan melibatkan diri dalam gerak kerja Islam.

Majlis diakhiri dengan penerimaan Anugerah Peserta Terbaik yang menjadi milik Nur Husna binti Rosli manakala Anugerah Kumpulan Terbaik pula menjadi milik kumpulan lima yang diketuai oleh Nor Hayani Binti Mat Deris. Penyampaian hadiah diserikan oleh Ustazah Khairul Izzah binti Mahat selaku Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah sesi 2011/2012 dan seterusnya merasmikan ucapan penutup. Diharapkan dengan berakhirnya Kolokium Ilmuan siri 3 & 4 ini, para peserta akan lebih memahami peranan sebagai seorang mahasiswa Islam dalam mendepani cabaran dan tribulasi.

Disediakan oleh,

NUR AFIFAH BINTI MAT HUSSIN

Setiausaha Kolokium Ilmuan (Q) siri 3 &4
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah sesi 2011/2012

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger