Kalam Nasihat Untuk Renungan Bersama

Assalamualaikum w.b.t


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani,

Segala puji bagi Allah subhanahuwata'ala yang maha mentadbir seluruh makhluknya, menjadikan bumi serta langit dan menurunkan air sebagai hujan, daripada air itu didatangkan benih bagi menghidupkan tumbuhan dan dijadikan rezeki bagi makhluk-Nya untuk melakukan amalan soleh. Selawat dan salam buat junjungan besar penghulu segala nabi, Rasulullah Sallahhu'alaihiwaalihi Wasallam yang diberikan mu'jizat padanya dan disebabkan cahaya baginda terhasil semua ciptaan.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah,

Kehidupan kita di dunia adalah sementara, akhirat jualah yang kekal abadi selamanya. Ini tidak dapat dinafikan. Andai diri mampu memandu arah tuju maka kejayaan sebenar akan dikecapi, Andai diri dipikul dengan dosa maka kecelakaan akan menanti. Ini adalah perkara yang diketahui oleh lapisan manusia yang beragama Islam. Setiap makhluk akan merasai kematian, saat kematian bukan suatu yang mudah diterima oleh semua manusia, hinggakan pernah kita membaca kisah orang-orang yang telah mati ingin pulang ke dunia walau sesaat bagi melakukan amalan soleh. Ini adalah satu perkara yang mustahil berlaku kerana kematian hanya sekali bagi mereka yang bernyawa. Berlainan pula dengan mereka yang beramal soleh serta punyai rasa cinta yang begitu tinggi, inginkan kematian tanpa rasa takut dan gelisah. Bermatian di medan perang hanya semata-mata untuk syahid bertemu Tuhan Rabbul Jalil.

Pada tahun ini, kita telah menyambut Hari Raya Korban dengan serba sederhana sekadar yang termampu dibuat oleh barisan kepimpinan. Sebagaimana kata pengerusi DPMM, Ust Abd Kadir Umar "Walaupun di saat hampirnya kita dengan imtihan dan juga atas dasar tidak mahu membebankan mana-mana pihak untuk menyambut hari seterusnya iaitu hari 'Debaran'(imtihan) bagi kita semua, namun hari raya tetap dapat disambut dengan seadanya." Bersyukur adalah satu jalan yang terbaik bagi mereka yang berakal. Paling penting adalah hubungan silaturrahim sesama muslim perlu dijaga dan tidak diketepikan. Sekembalinya saya dari masjid, masih terngiang-ngiang khutbah yang disampaikan oleh khatib. Di antara untaian kata yang saya ingat

"..Hari raya yang sebenarnya ada lima:

Pertama : hari raya di mana kita tidak melakukan sebarang dosa dan maksiat, mata tidak memandang perkara haram, dan seluruh anggota badan tidak melakukan sebarang perkara haram. Ia dinamakan Hari Sebelum Kelahiran.

Kedua : adalah hari di mana kita di tempatkan di bumi dengan melakukan amalan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh-Nya.

Ketiga : ialah saat ketika kita melintas titian sirat dengan selamatnya, dan pada hari tersebut, andai kita dapat melepasi titian itu, ganjaran syurga yang akan menanti.

Keempat : hari di mana kita dimasukkan oleh Allah s.w.t. ke dalam syurga yang kekal abadi. Semoga Allah s.w.t. menempatkan kita di dalamnya.

Kelima : adalah hari di mana kita dapat melihat cahaya wajah Allah s.w.t. dan hari tersebut adalah hari yang paling bermakna buat semua insan yang beragama Islam." Ya Allah Kau tempatkanlah kami dikalangan mereka-mereka yang dapat melihat cahaya wajahMu." Amin Ya Allah.

Ketika sedang mendengar kutbah pelbagai nasihat dilontarkan seolah-olah semuanya ditujukan kepada sekalian pendengar yang hadir. Antaranya, di antara golongan manusia yang diberi perlindungan oleh Allah ialah mereka yang menginfakkan harta dalam keadaan tangan kanan menghulur tanpa tangan kiri mengetahuinya. Infak kepada mereka yang susah tanpa mengira keadaan sama ada ketika waktu senang ataupun susah. Beberapa cara yang diajar oleh baginda rasul dalam menyampaikan risalah dakwah antaranya dengan lidah dan perbuatan anggota badan.


Sahabat-sahabat yang dicintai kerana Allah,

Pada hari ini cuba kita hitung diri kita bagaimana rasa ketaqwaan kita pada Allah. Di mimbar-mimbar Jumaat setiap minggu khatib menyeru dengan seruan Allah " يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله " yang bermaksud "wahai orang-orang yang beriman takutlah kamu kepada Allah". Imam al-Ghazali menyebut, seorang mu'min itu adalah mereka yang takutkan Allah dengan segala aggota badannya. Sepertimana yang telah diperjelaskan oleh al-faqih Abu-Laisth :

Tanda-tanda seseorang yang takut pada Allah dapat diterjemahkan dalam tujuh tempat:-

Pertama : lidahnya yang mana dia tidak mengatakan sesuatu yang dusta, tidak mengumpat, tidak mencela tetapi lidahnya hanya melontarkan perkataan yang baik serta berzikir pada Allah s.w.t. dan juga sentiasa membaca Al-Quran.

Kedua : hatinya yang tidak ada perasaan permusuhan, dengki dan hasad. Sabda Nabi " الحسد يأكل الحسنات كما تأكل النار الحطب " yang bermaksud " hasad itu memusnahkan kebaikan sepertimana api yang membakar kayu ".

Ketiga : matanya yang tidak melihat kepada benda haram daripada makanan, minuman, serta pakaian. Dia juga tidak melihat dunia dengan penuh hawa nafsu.

Keempat : perutnya yang tidak dipenuhi dengan benda yang haram kerana itu merupakan dosa besar.

Kelima : tangannya yang tidak digunakan atas perkara-perkara haram tetapi digunakan semata- mata taat kepada Allah. Sesungguhnya telah diriwayatkan oleh Ka'ab : Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menciptakan satu tempat yang diperbuat daripada zabarjat hijau yang mana didalamnya terdapat 70,000 bilik dan setiap satu bilik mempunyai 70,000 kamar dibuat khusus bagi mereka yang apabila diminta kepada sesuatu yang haram dia menolak kerana semata-mata takutkan Allah"

Keenam : kakinya yang tidak melangkah kepada sesuatu yang maksiat tetapi dia melangkah ke arah ketaatan kepada Allah dan mengharapkan redhaNya serta kepada alim ulama dan mereka yang soleh.

Ketujuh : ketaatan yang mana ikhlas hanya kerana Allah dan takut ada sifat riya' dan nifak. Mereka ini adalah di kalangan orang-orang yang berjaya pada hari kiamat kelak.


Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,

Di sini saya ingin membawa sebuah coretan sirah auliya' oga ia dapat dijadikan pedoman dan peringatan buat kita semua. Telah dinukilkan mengenai kisah Nabi Daud a.s, ketika baginda sedang duduk di atas sebiji batu sambil membaca kitab Zabur. Tiba-tiba, beliau melihat seekor ulat yang berwarna merah di atas sebiji batu yang lain. Terlintas di hatinya " Apakah yang Allah inginkan terhadap ulat ini?" maka dengan izin Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu (walaupun lintasan hati) telah mengizinkan ulat tersebut untuk berkata-kata. Maka berkatalah si ulat " Wahai Nabi Allah, sesungguhnya di waktu siangku Allah s.w.t. telah mengilhamkan aku supaya berzikir setiap hari سبحان الله و الحمدلله ولا اله الا الله والله اكبر sebanyak seribu kali, adapun di waktu malamku Allah s.w.t. mengilhamkan aku dengan mengucapkan

اللهم صلى على محمد النبى العمى و على آله وصحبه وسلم sebanyak seribu kali setiap hari. Kamu pula wahai nabi Allah, apa yang kamu tuturkan yang boleh aku jadikan manfaat?." Maka menangislah Nabi Daud a.s. di atas merasa dirinya hina dari ulat tersebut dan rasa takutnya pada Allah.

Lihatlah sahabat-sahabat, seekor ulat yang sentiasa membasahi lidahnya dengan zikrullah semata-mata kerana takutkan Allah. Inilah dia kehidupan para nabi dan salafussoleh dalam kehidupan mereka. Maka kita sebagai pengikut mereka perlulah mencontohi setiap apa yang mereka lakukan.


Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Sehubungan dengan itu, saya mencabar diri saya serta sahabat-sahabat sekalian, sekiranya kita menyatakan bahawa kita adalah orang yang suka dengan cabaran maka sahutlah cabaran Allah dan rasul-Nya bagi mengerjakan qiamullail, yang mana mengajar kita erti kesabaran lebih-lebih lagi di musim sejuk ini. Bagi mereka yang merasakan dunia ini tidak perlu kepada berjemaah maka sahutlah seruan Nabi Muhammad untuk sama-sama dalam jemaah sehingga ke hari akhirat dalam memperjuangkan Islam tercinta, bagi mereka yang merasakan nikmat solat di rumah lebih utama maka ketahuilah nikmat solat berjemaah di masjid adalah satu cabaran yang sukar dilakukan dan memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda. Andai nikmat di saf pertama dinilai sebaiknya, tidak akan ada seorang pun yang akan berada di saf kedua dan sentiasa bersama imam di masjid. Ingatlah harta dan wang ringgit sedikit pun tidak dinilai Allah sekiranya ia dicuri atau diletakkan di tempat yang haram. Akhir kata sambutlah salam ukhuwah dan salam kasih sayang. Moga imtihan yang bakal menjelang dapat dijadikan latihan dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan kita.

Berkata Imam Ahmad bin Hanbal

" حاجة الانسان الى العتم اكثر من حاجته من الطعام و الشرب "

yang bermaksud " keperluan seorang manusia terhadap ilmu itu melebihi daripada keperluanyanya terhadap makanan dan minuman."

Akhirnya, salam imtihan buat semua ahli DPMM. Semoga Allah memberkati segala usaha kita.




Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger