[BERITA] ABADI'12 Sinergi Kesatuan Mahasiswa


ZAQAZIQ, 3 MacBuat julung kalinya bumi Zaqaziq telah dipilih untuk menjadi tuan rumah untuk Konvensyen DPM Kali Ke-IV (ABADI ’12) setelah tiga Konvensyen DPM yang terdahulu iaitu pada tahun 1995, 1998, dan 2007 telah diadakan di Mansurah.


Seramai
471 orang perwakilan dan hampir 150 orang pemerhati mewakili Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN), Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM), dan mahasiswa dari Fakulti Perubatan dari segenap penjuru bumi Mesir telah mula membanjiri Dewan Muktamarat Kubra, Universiti Zaqaziq sejak awal pagi 29 Februari yang lalu.

Dengan
bertemakan ‘Bentuk Wehdah Jana Ummah’, ABADI ’12 dirasmikan oleh Penasihat Persekutuan Republik Arab Mesir (PMRAM), Ustaz Nik Rosdi Bin Jusoh kira-kira pada pukul 10.00 pagi.

Pengisian ABADI ’12 diteruskan dengan Forum Menggamit Memori 20 Tahun DPM yang membariskan Ustaz Zahari Bin Ali, Ustaz Nik Azran Bin Muhamed, dan Ustazah Dayang Binti Awang Damek Yahya. Forum ini sedikit sebanyak telah memberikan gambaran jelas tentang sejarah perjalanan DPM selama hampir 20 tahun ditubuhkan disamping cabaran-cabaran yang dihadapi generasi terdahulu dalam memastikan kesatuan mahasiswa Islam Malaysia terus kekal utuh.

Manakala sebelah petangnya pula, sesi pembentangan kertas kerja yang bertajuk ‘Mahasiswa Islam Memimpin Kebangkitan Ummah’ telah disempurnakan oleh Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husin dan Dr. Tengku Fakhruddin Bin Tengku Md Fauzi.

Seterusnya dalam slot perbincangan dua hala, para perwakilan telah diberi peluang untuk melontarkan saranan segar dan idea bernas bagi merungkaikan beberapa isu yang membelenggu DPM khususnya mengenai masalah penghantaran mahasiswa baharu ke muhafazah.

Tidak hanya tertumpu dengan forum, pembentangan kertas kerja, dan perbincangan, ABADI ’12 turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan al-Wadi, deklamasi sajak oleh Huefiros Efizi Husain, serta tayangan video dokumentari DPM dan isu Syria.

Sementara upacara penutup ABADI ’12 pula telah disempurnakan oleh Presiden PMRAM, Ustaz Muhamad Zuhaili Bin Saiman yang menyeru mahasiswa dalam ucapannya agar mengambil semangat Sultan Muhammad al-Fatih membebaskan Constantinople dalam usaha mendapatkan tanah ARMA. Majlis yang berakhir kira-kira pada pukul 11 malam telah menggariskan tiga resolusi yang disepakati bersama oleh para perwakilan iaitu :-

1) Menghidupkan suasana di DPM
2) Mempertahankan survival DPM
3) Memperkasakan kelangsungan pentauzikan ke muhafazah


KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH
Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger