[ Kalam Pimpinan ] Bendahari DPMM 2011/12



    •         
          




      بسم الله الرحمن الرحيم


      السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


      Alhamdulillah, syukur dirafa’kan kepada Allah, Tuhan seluruh alam, yang berkuasa mengalirkan air Sungai Nil, membekalkan udara kepada kita, sekaligus memberi ruang dan peluang kepada saya untuk mencoretkan beberapa perkara.

      Sahabat-sahabat yang dimuliakan

      Musim pulang ke Malaysia kembali lagi, ada diantara kita telah pun bermusafir untuk berjumpa dengan keluarga tercinta. Namun ,masih juga ada diantara kita yang masih bertungkus-lumus membuat persediaan dan bertempur bagi menghadapi imtihan yang sedang menjelang. Bagi yang telah pun selesai, kehangatan untuk mengetahui natijah membuatkan kita tidak dapat duduk senang sehinggalah natijah rasmi diumumkan. Walau apa pun natijah yang akan diumumkan, semoga kita terus cekal menuntut ilmu Allah di muka bumi ini.

      Di sebalik kerisauan kita itu, ingin saya ingatkan di sini kepada sahabat-sahabat tentang bayaran yang perlu dijelaskan atau dalam kata lain hutang yang perlu dilangsaikan. Suka untuk saya menimbulkan persoalan kepada sahabat-sahabat tentang “ apakah hukumnya orang yang tidak mahu membayar hutang dan apakah hukumnya orang yang memberi hutang?”

      Sahabat-sahabat yang dikasihi,

      Dalam Islam berhutang memang diharuskan. Islam memberi galakan kepada umatnya agar memberi bantuan kepada saudara-saudaranya, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi seperti perkara-perkara yang berkaitan dengan makan dan minum, tempat tinggal, pelajaran dan sebagainya. Sebagaimana dalam sebuah hadith yang bermaksud : Daripada Abu Hurairah r.a berkata seseorang, ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda : “ Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti ( makanan ) kepadanya.”

      Hadith menerangkan antara pekerjaan yang paling baik ialah menolong menjelaskan hutang seseorang. Persoalan sekarang ialah terdapat sebahagian orang Islam sengaja melambat-lambatkan membayar hutang apabila tiba waktu hendak membayarnya. Berbagai-bagai alasan akan diberikan untuk mengelak atau menangguhkan pembayaran hutang tersebut.

      Apabila seseorang itu berhutang, bermakna dia mula meletakkan belenggu di batang lehernya, dan belenggu itu tidak dapat dilaksanakan kecuali hutang-hutang tersebut dijelaskan. Sekiranya tidak sempat dijelaskan, hutang itu akan terus di bawa sehingga ke hari pengadilan di Akhirat, yang mana ketika itu tiada lagi pembayaran dengan ringgit atau dolar, tetapi pembayaran dengan amalan-amalan kebaikannya.

      Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT sekalian,

      Islam sangat mengambil berat dalam soal pembayaran hutang. Dalam erti kata lain, hutang adalah merupakan satu syarat untuk mendapat keredhaan Allah. Seseorang yang berhutang, hendaklah berniat dalam hatinya untuk menunaikan hutang tersebut, kerana Allah akan memudahkan baginya bila dia hendak menunaikannya.

      Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya.”

      Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa orang yang berhutang terikat dengan pembayaran. Hendaklah individu tersebut menjelaskan hutangnya semasa di dunia kerana apabila telah meninggal dunia dalam keadaan masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung sehinggalah dijelaskan hutang tersebut. Sepertimana sabda Rasulullah SAW : Jiwa orang-orang mukmin tergantung dengan hutangnya ( iaitu tidak dihukum kepadanya selamat atau celaka ) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.

      Abu Said r.s berkata : Telah dibawa kepada Rasulullah SAW jenazah untuk disembahyangkan lalu Nabi bertanya : “Apakah mayat ini masih menanggung hutang?” Sahabat menjawab : Ya. Nabi bertanya : “ Apakah ia ada meninggalkan harta untuk membayarnya?” Jawab sahabat : Tidak. Nabi bersabda : “ Sembahyanglah kamu kepada kawanmu itu.” Nabi sendiri tidak ikut menyembahyangkannya. Kemudian Ali bin Abi Talib berkata : “Biarlah aku yang mmbayar hutangnya.” Sesudah itu, Nabi segera maju menyembahyangkannya, lalu baginda berkata kepada Ali : “Semoga Allah membebaskan tanggunganmu ( dirimu ) dari api neraka, sebagaimana kamu membebaskan tanggungan saudara yang muslim itu. Tidaklah seorang muslim yang membayar hutang saudaranya, melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya ( dirinya ) dari api neraka pada hari kiamat kelak.”

      Sahabat-sahabat rakan seperjuangan sekalian,

      Ingin saya ingatkan di sini antara hutang yang mungkin pernah kita buat ialah hutang dengan ahli bait, kawan-kawan mahupun jiran. Begitu juga hutang dengan DPMM seperti tunggakan yuran PMRAM dan DPMM mahupun hutang di Kedai DPMM. Jadi di kesempatan ini, saya menyeru kepada sahabat-sahabat agar dapat menjelaskan mana-mana hutang yang tertunggak dengan kadar yang segera terutama bagi mereka yang berhajat untuk pulang ke Malaysia sama ada ingin pulang bercuti atau mereka yang akan menghabiskan pengajian di sini.

      Saya selaku Bendahari DPMM hanya mampu untuk mengingatkan kepada sahabat-sahabat tentang pentingnya menjelaskan hutang dan selebihnya saya serahkan kepada sahabat-sahabat untuk menilainya sendiri.




      Akhir kalam, saya mewakili saf kepimpinan AJKT/AJKH DPM Mansurah sesi 2011/2012 mengucapkan salam imtihan serta bittaufiq wannajah wal inayah kepada seluruh ahli Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah secara khususnya, dan semua yang membaca kalam ini secara umumnya. Semoga kejayaan menjadi milik kita semua..Ameen..


      Sekian, kurang lebihnya mohon dimaafkan. 

      وبالله توفيق والهداية ، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


      Mohd Saiful Zahari bin Zakaria
      Bendahari ( Unit Ekonomi ) 
      Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah
      Sesi 2011/2012


Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger