[ISTIMEWA KALAM PIMPINAN]Usrah


"Esok je masa nak berehat. Hari-hari lain dah penuh kuliah!"

"Insya-Allah, kalau ada di Mansurah saya datang tapi tak boleh janji…"

"Tengoklah dulu macam mana…"

"Insya-Allah datang tapi lewat sikit. Startlah dulu, tak perlu tunggu saya tau"

Sesiapa sahaja yang bergelar naqib atau naqibah usrah pasti pernah mengalami situasi-situasi seperti di atas. Setiap minggu yang ditetapkan untuk sama-sama menghadiri usrah kadangkala menjadi keluhan berat bagi sesetengah pihak. Semua ini terjadi mungkin kerana tipisnya kefahaman kita terhadap kepentingan berusrah.

Firman Allah swt yang bermaksud : "Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah" [Surah al-An'aam ayat 153]

Sesungguhnya, usrah memainkan peranan penting bagi pemuda untuk memahami Islam itu sendiri. Kefahaman Islam yang diperoleh daripada usrah dengan meneladani contoh tauladan terunggul, Rasulullah saw adalah untuk dijadikan sebagai amalan dan gaya hidup yang sihat supaya ahli usrah akan lebih terpandu ke jalan yang betul.

Usrah yang menghidangkan manhaj tafsir, hadis, sirah dan lain-lain mendidik jiwa agar berusaha menjadi seorang muslim cemerlang lengkap dengan ilmu pengetahuan Islam, memahami sifat-sifat fardhu muslim, berkasih sayang sesama sahabat dan saling membantu di medan juang.

 Saidina Umar al-Khattab ada mengatakan, "Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah dalam kalangan mereka kerana mereka itu perhiasan pada waktu senang dan bekalan pada waktu susah"

Tiga elemen penting dalam usrah ternyata mampu memberi impak yang cukup hebat bagi ahli-ahlinya sekiranya penekanan yang wajar diberikan sepanjang sesi berusrah.

Tiga elemen tersebut ialah :
i. ta’arufintroduction and getting to know one another
ii. tafahummutual understanding
iii. takafulequitability, mutual cooperation, assistance, care and concern
 


Melalui usrah, kita belajar mengenali hati budi rakan-rakan seusrah dengan lebih dekat. Bukan sekadar kita kamceng dengan sahabat-sahabat sekelas, satu batch, satu rumah dan pusat pengajian sahaja malahan, lebih dari itu. Usrah mendekatkan kita dengan pelbagai ragam dan kerenah masyarakat.

 Sahabat-sahabat, usrah juga mampu memotivasikan kita. Ada yang hadir dengan masalah di minda, ada yang hadir dengan rasa kecewa, tidak kurang juga yang hadir riang gembira. Di sinilah usrah bertindak mengembalikan cas-cas positif yang hilang dan menguatkan semangat yang kurang.

Lebih indah lagi, kita sudah mempunyai jalan untuk mendapat teduhan 'arasy Allah di akhirat kelak menerusi sebuah persahabatan. Ini sebagaimana yang digambarkan dalam hadis Nabi saw, mafhumnya : "Dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana-Nya…" [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Sesungguhnya kenikmatan berbuka puasa tidak akan dirasai oleh mereka yang tidak berpuasa. Justeru, rasailah kenikmatan dan keindahan berusrah dengan menghadiri usrah. Sesungguhnya, usrah menjadi majlis ilmu yang dinaungi sayap para malaikat. Benar, kelas-kelas pengajian kita juga adalah suatu majlis ilmu yang diberi kelebihan yang sama. Namun begitu, Allah swt berfirman yang bermaksud ;

"Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu" [Surah Al-Baqarah ayat 148]

Tidak mahukah kita berada di barisan paling hadapan dalam melakukan kebaikan?

Jom Usrah!

Disediakan oleh,
Faiznur binti Mohamad Tarmizi
Naib Pengerusi I HEWI
DPMM sesi 2012/2013




Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger