"STUDY GROUP " PENGENALAN & PERLAKSANAANNYA.


Memang tidak dinafikan konsep pembelajaran secara study group hanya mendapat perhatian dikalangan mereka yang betul-betul inginkan penyebatian kemahiran berfikir dan mungkin agak sukar untuk dipraktikkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran golongan azhari dan azhariah. Memandangkan kaedah dan keberkesanan study group ini pun kurang diperkatakan dan nampak masih belum terangkat . Ini dapat dilihat dari kurangnya buku dan tulisan yang berkaitan dengannya . Di tanahair contohnya,ada beberapa kaedah untuk memperkenalkan pembelajaran ini melalui usaha Gan Siowck Lee dan Noran Fauziah yang telah menterjemahkan buku "Cooperative Learning" yang ditulis oleh Yaakub jacobs, George M & Gan Siowck & Jessica Ball. Buku itu diberi judul "pembelajaran kerjasama".


Sebelum penulis kaitkan study group dengan situasi yang berlaku di kalangan azhari dan azhariah, ingin penulis membawa pembaca semua menghayati dan memahami apa itu study group. Seorang sarjana terkemuka yang pernah menjadi Presiden Persatuan Antarabangsa bagi kajian kerjasama dalam pendidikan iaitu Robert Slavin menyatakan kaedah pembelajaran study group memerlukan pelajar bekerjasama untuk belajar dan bertanggungjawab ke atas pembelajaran rakan rakan sekumpulan mereka selain daripada pembelajaran mereka sendiri. Selain daripada idea bekerja bersama-sama, kaedah pembelajaran study group memberi penekanan kepada penggunaan matlamat kumpulan dan kejayaannya yang hanya boleh dicapai sekiranya semua ahli dalam kumpulan mempunyai objektif yang sama.

Realiti yang berlaku kepada azhari dan azhariah ialah tidak semua yang dapat menerima kaedah study group dengan alasan tidak mampu untuk berkongsi pengetahuan , kurang kemahiran membaca kitab dalam bahasa arab , tiada masa untuk diperuntukkan kepada study group dan pelbagai lagi alasan alasan yang diutarakan.

Walaubagaimanapun , penulis menghormati pendapat dan pandangan golongan tersebut . Tanpa mengikuti study group , masih ada individu yang mampu menguasai dan memahami keseluruhan matapelajaran . Ingin penulis menerobos sempadan yang dibina oleh beberapa golongan tersebut bahawa study group bukan sahaja menerima malah ia juga bersifat memberi . Dalam kata lain , pelajar percaya bahawa mereka tenggelam dan berenang bersama , seseorang tidak akan berjaya melainkan jika semuanya berjaya . Mereka sedar , usaha setiap ahli bukan sahaja memberi keuntungan kepada diri sendiri tetapi kepada semua . Mereka bantu membantu , usaha antara satu sama lain untuk belajar , saling memberikan dorongan dan merayakan kejayaan penggabungan bersama.

Sebagaimana telah berkata Imam Malik bin Dinar:

"Sesungguhnya orang yang berilmu, jika tidak beramal dengan ilmunya nescaya hilanglah mau'izzah (peringatan) daripada hati , seperti hilangnya titisan air hujan yang mengalir di atas batu yang licin.

Walaubagaimanapun alasan-alasan yang diutarakan itu akan benar-benar berlaku sekiranya azhari dan azhariah tidak mengamalkan ciri-ciri study group yang ideal . Di sini beberapa perkara penting yang penulis ingin sarankan kepada pembaca. Antaranya ;

1)anggota perbincangan hendaklah dihadkan dan jangan terlalu ramai.

2)hendaklah di ketuai oleh seorang yang berkebolehan untuk dijadikan tempat rujukan jika terdapat masalah.

3)diadakan mengikut masa,tempat dan pembahagian tugas yang dipersetujui.

4)bertukar-tukar tempat perbincangan.

5)topik yang ingin dibincangkan hendaklah dibaca terlebih dahulu.

6)diselangi dengan perkara sampingan seperti berehat 5 minit.

Sebenarnya banyak kelebihan yang dapat diambil hasil daripada seseorang itu istiqamah melakukan study group . Bagi mereka yang lemah dari segi memahami dan menguasai kitab, teknik yang terbaik adalah dengan cuba berjinak-jinak dengan study group. Ini kerana ianya memberi peluang kepada individu tersebut untuk mengkaji dan cuba menterjemah sendiri makna kedalam bahasa melayu sekaligus menambahkan perbendaharaan kata dalam bahasa arab. Budaya "makan suap" dengan mengharapkan 100% pemberian daripada tenaga pengajar cukup merugikan kita semua . Anggaplah peranan tenaga pengajar hanya sebagai pemudahcara untuk memberikan bayangan, menyoal dan menjawab soalan, memberikan maklum balas yang khusus, memberikan galakan dan menyatukan idea bersama.

Kajian menyatakan bahawa untuk mengetahui kita benar-benar menguasai dan memahami sesuatu pelajaran ialah bilamana kita mampu untuk menyampaikan dan menerangkan kembali kepada orang lain. Jadi gunakanlah medan study group itu untuk mempraktikkan sejauhmana kefahaman dan tahap penguasaan ilmu kita. Alasan tidak mampu untuk berkongsi pengetahuan dan kurang kemahiran membaca kitab hendaklah diatasi walaupun secara merangkak- rangkak.

As-Syahid Hassan Al- Banna melakarkan dalam madahnya :

" Jangan biarkan impian dan cita-cita kita terkubur disebabkan oleh ketidakmampuan yang seringkali kita agungkan. Kita menanti mentari esok dan seterusnya lusa, tapi yang pastinya kehadirannya kita sambut seperti hari-hari semalam juga . Bertekadlah untuk membuat perubahan dan hasil daripada melaksanakan study group dapat memberi natijah yang memberangsangkan kepada kita, antaranya:

1)lebih mudah memahami pelajaran.

2)membantu menyediakan nota.

3)berkongsi maklumat kuliah dan pengajian.

4)lebih menjaga dan menjimatkan masa.

5)menjadikan otak lebih aktif dan kreatif.

6)memudahkan kita mengingati pelajaran tersebut.

Berdasarkan kepada penghuraian dan penjelasan, kita dapat melihat konsep belajar secara study group adalah untuk mencapai matlamat yang dikongsi bersama. Kebaikan dari segi pemikiran yang tinggi yang mana azhari dan azhariah dapat menimbang sesuatu dari sudut pandangan dan kefahaman orang lain juga lantas dapat membuang sikap pentingkan diri sendiri serta tidak mahu bergaul dengan orang sekeliling . Di samping dapat merapatkan ukhuwwah , memupuk rasa kesatuan, rasa penyertaan dan pengenalan yang sama serta pembentukan semangat berkumpulan.

Diolah daripada karya : KAMARIAH @ SITI HAJAR SALLEH

(INFO Mansurah bil 24, 2006)

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger