Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin

Mansurah,24 Disember – Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI, DPM Mansurah telah menganjurkan Majlis Solat Hajat sempena imtihan fasa pertama yang bakal tiba tidak lama lagi. Tujuan utama diadakan majlis ini adalah untuk memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan dan sentiasa diberikan nusrah yang berpanjangan rahmat serta redha dari-Nya. Majlis berlangsung sekitar jam 10.00 pagi bertempat di DPJA. Dianggarkan kehadiran mahasiswi Mansurah kira-kira 90 orang yang terdiri daripada pelajar Kuliah Pengajian Islam dan pelajar Takhasus Qiraat.

Sebelum majlis solat hajat berlangsung, majlis dimulakan dengan alunan zikir munajat yang dipimpin oleh saudari Maslina Mohd Rosdi pelajar Takhasus Qiraat tahun 2 agar suasana majlis sentiasa berada dalam keadaan yang tenang dan dirahmati oleh Allah. Setelah selesai mengalunkan zikir, majlis solat hajat pun dimulakan dengan diimamkan oleh saudari Fatin Mohd Razali pelajar Usuluddin Tahun 2 dan membacakan doa khusus buat seluruh mahasiswi Mansurah yang bakal menghadapi imtihan tidak lama lagi. Suasana sayu menyelubungi DPJA. Rintihan doa dipanjatkan buat yang Maha Mendengar agar Allah s.w.t memberikan kejayaan yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat seterusnya dapat berbakti kepada agama Allah s.w.t melalui wasilah kejayaan yang dianugerahkan.

Selesai solat hajat, bacaan yasiin turut dikumandangkan di DPJA yang dipimpin sendiri oleh Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI , saudari Nor Nadiah binti Che Yusof dengan penuh kecintaan kepada Allah s.w.t pencipta yang Maha Agung dan kepada Rasulullah, nabi yang dikasihi Muhammad S.A.W.

Majlis tidak berhenti di situ sahaja, seterusnya ucapan dan kata-kata semangat daripada ketua syukbah tahun akhir. Setiap daripada wakil menyampaikan kalam dan nasihat yang berguna buat sahabat-sahabat seperjuangan agar terus thabat dalam mencari ilmu Allah S.W.T dan tidak gentar menghadapi imtihan dunia kerana semua itu adalah salah satu tarbiah daripada Allah S.W.T agar sebagai seorang mahasiswa lebih tekun mengkaji dan menggali segala ilmu untuk dimanfaatkan kepada seluruh masyarakat Islam suatu hari kelak.

Seterusnya ucapan daripada Naib Pengerusi 1 HEWI DPMM, saudari Noor Zailin binti Maat.Beliau memulakan ucapan dengan kalam taujihat buat semua mahasiswi Mansurah yang akan menduduki imtihan. Suntikan semangat dan perangsang diberikan agar semua mahasiswi sentiasa tekun dan tidak berputus asa dalam berjuang sehingga mencapai keputusan cemerlang. Beliau juga berpesan untuk sentiasa memperkasakan Biah Solehah dalam kehidupan seharian dan melaksanakan amar makruf nahi munkar sebagai hamba kepada Allah S.W.T.

Sebelum tamatnya majlis, hadirin dihidangkan dengan tayangan slide show sempena Maal Hijrah yang baru dilalui untuk santapan rohani dan memberi suntikan semangat dalam berjihad untuk mentransformasi diri berhijrah daripada yang baik kepada yang lebih baik. Majlis diakhiri dengan bacaan tasbih kafarah dan surah Al-Asr. Majlis bersurai sekitar jam 12.00 tengahari.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”

Maslina Mohd Rosli
Ahli Jawatankuasa
Unit Dakwah dan Pembangunan HEWI
PMRAM CAwangan Mansurah
Sesi 2010/2011

Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger