TARIKH : 25 APRIL 2011
TEMPAT : DEWAN PERSADA JAZIRAH AL-WARD
KEHADIRAN : 59 ORANG
Pertama kali untuk sesi ini HEMAT telah mengorak langkah dengan mengadakan satu program khusus untuk mahasiswi tahun akhir dan terbuka untuk mahasiswi lain.Untuk sesi ini pelbagai aktiviti yang telah dirancang untuk mahasiswi tahun akhir antaranya Kursus Mengendalikan Bacaan Yaasin Dan Tahlil Dan Kursus Penyembelihan.
Kursus mengetuai bacaan yaasin dan tahlil ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswi tahun akhir cara mengetuai bacaan yaasin dan tahlil.Memandangkan setiap tempat dan kawasan bacaan yaasin dan tahlil ini dipelopori oleh warga emas, maka HEMAT telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini sebagai latihan untuk berhadapan dengan masyarakat bila pulang ke Malaysia nanti.
Slot Kursus Mengetuai Bacaan Yaasin dan Tahlil bermula pada jam 9:25 pagi oleh Ustazah Noor Azimah binti Arba'ain.Sebelum beliau memulakan sesi penerangan, peserta dihidangkan dengan tayangan video bertajuk "Your Life Your Choice " setelah itu beliau telah menerangkan hukum bacaan yaasin dan tahlil dan kepelbagaian bacaan tahlil dalam masyarakat di Malaysia mengikut negeri.
Sebelum berakhir slot pertama, para peserta diberi peluang untuk bertanyakan beberapa soalan berkaitan dengan tahlil dan sejurus selepas itu masa yang berbaki diteruskan dengan membaca tahlil bersama-sama.Slot pertama berakhir dengan tayangan video bertajuk "Farshi Turob".
Slot kedua bermula sejurus tamat tayangan video iaitu slot pembentangan kertas kerja yang bertajuk Hukum Penyembelihan Menurut Islam yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Yasir bin Mohd Razi.
Kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswi untuk mempelajari teknik penyembelihan bagi orang Islam agar kita terpelihara daripada makanan yang tidak halal dan memantapkan lagi kefahaman tentang hukum penyembelihan menurut Islam juga memberi peluang untuk belajar sembelih haiwan secara praktikal.
Pengenalan, hukum dan dalil, syarat-syarat binatang sembelihan dan beberapa perkara penting lagi yang telah digariskan pembentang tentang hukum sembelihan.
Slot kedua sesi teori ini berakhir dengan jawapan kepada soalan yang dilontarkan kepada pembentang.Slot ini diteruskan dengan sesi praktikal sembelihan bertempat di hadapan pintu masuk DPJA.Sembelihan pertama dilakukan oleh Ustaz Mohd Yasir.Seramai 15 orang siswi menyertai praktikal sembelihan.Pihak HEMAT sendiri ada membuka jualan burung puyuh untuk mana-mana perserta yang tidak berkesempatan untuk membeli haiwan sembelihan.
Program ini berakhir pada jam 11:30 pagi seusai peserta bersama-sama ahli jawatankuasa bergotong -royong mengemas kawasan sembelihan.Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dan mendapat respon yang baik daripada peserta dan mereka berharap program seperti ini terus diadakan pada masa yang akan datang.
Disediakan oleh
Suriati Mat Ali
Setiausaha
HEMAT DPMM 10/11