Kesungguhan PMRAM dalam menjalankan gerak kerja sebagai persatuan induk mahasiswa/wi Islam Malaysia Mesir sentiasa diberi perhatian serius di peringkat pimpinan.
Pelbagai program disusun dan dirancang demi memenuhi tuntutan dan kehendak mahasiswa-mahasiswi di sini dalam pelbagai bidang sama ada program bersifat umum mahupun khusus untuk pimpinan.
Penganjuran Konvensyen PMRAM & DPM ’11 yang bakal diadakan tidak lama lagi ini adalah hasil cetusan daripada resolusi Konvensyen PMRAM pada tahun lepas membuktikan lagi kesediaan PMRAM dalam memacu golongan mahasiswa Islam ke arah yang lebih gemilang.
Disebalik penganjuran konvensyen PMRM & DPM ’11 secara berkembar pada tahun ini ternyata ada sejarah yang begitu memilukan yang perlu dingati bersama lebih-lebih lagi apabila konvensyen PMRAM & DPM ‘11 pada tahun ini akan dilaksanakan di muhafazah.
Sejarah yang tidak akan dilupakan oleh generasi yang melalui zaman tersebut dan akan sentiasa dikenang oleh generasi yang akan datang.
Sejarah itu akan mengingatkan kita betapa hebatnya perjuangan generasi terdahulu dalam membentuk kesatuan mahasiswa Islam.
Bagaimana kesungguhan dan komitmen generasi dahulu dalam memastikan PMRAM terus dijulang sebagai suatu entiti dan gerakan mahasiswa Islam yang cukup hebat.
Sejarah itu sudah pastinya akan mengimbau kembali titisan air mata yang pernah jatuh di bumi Mansurah suatu ketika dulu apabila konvensyen DPM kali yang pertama terpaksa dibatalkan gara-gara tindakan kurang professional yang telah dilakukan oleh golongan yang iri hati terhadap kesatuan mahasiswa/wi Islam Malaysia di bawah naungan PMRAM.
Kita lihat bagaimana persiapan begitu rapi yang memakan hampir 3 bulan dan menelan belanja hampir RM 20, 000 untuk memastikan perjalanan Konvensyen DPM kali pertama pada 4 Julai 1995 di Mansurah berjalan dengan sempurna akhirnya kepahitan juga terpaksa ditelan.
Ketentuan Allah mengatasi perancangan hambanya apabila Konvensyen DPM kali pertama itu tiba-tiba dibatalkan .
Perjalanan gerak kerja yang memakan tempoh masa yang agak panjang terpaksa dikorbankan tanpa alasan yang munasabah.
Pada peringkat awal, konvensyen ini telah mendapat kebenaran dari pihak keselamatan Mesir kerana ia melibatkan komuniti pelajar-pelajar Malaysia di bumi Mesir, namun apabila terdapat campurtangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pihak keselamatan mesir menarik balik kebenaran yang telah diberikan dan Konvensyen DPM telah dibatalkan.
Nostalgia ini akan sentiasa dikenang dalam kehidupan kita agar sejarah yang terlakar tidak pernah padam ditelan zaman.
Melihatkan kepada kesedaran hasil daripada cetusan inilah, seharusnya di setiap peringkat memainkan peranannya masing-masing dalam mendepani survival DPM.
Betapa hebatnya DPM buat PMRAM, maka perkara tersebut perlu dilihat sebagai suatu perkara yang besar yang semestinya dipertahankan.
DPM inilah yang menjadi tonggak kekuatan PMRAM.
Tragedi Mansurah 1995 akan sentiasa diingati kerana ia merupakan antara detik dan siri kebangkitan mahasiwa Islam dan menjadi bukti kesatuan dan keutuhan ribat ukhuwwah antara mahasiswa di bawah naungan PMRAM yang akan terus dipertahankan.