Penghayatan Sunnah Bersama Usrah

Bismillahirrahim…

Segala puji bagi Allah Taala, yang menjadikan dunia ini aman di bawah lindungan panji dan kepimpinan Islam. Selawat dan salam buat pemimpin teragung Rasulullah S.A.W, para sahabat, ahli keluarga serta seluruh generasi yang meneruskan perjuangan baginda sehingga ke hari ini.

Seperti yang kita semua maklum, bahawa hari Jumaat adalah hari yang tersangat istimewa kerana Islam meletakkan hari Jumaat itu sebagai ketua dan lebih banyak ganjarannya berbanding hari-hari yang lain.

Riwayat Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Hari Jumaat dinamakan sebagai “Sayidul Ayyam” iaitu penghulu segala hari.”

Terdapat banyak kelebihan dan kebaikan di hari Jumaat ini, antaranya Nabi Adam a.s diciptakan dan hari ini jugalah baginda diturunkan daripada syurga.

Daripada Abu Hurairah katanya , Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya :

“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat , Dan pada hari itu jualah, Nabi Adam a.s diciptakan dan pada hari itu jualah baginda dikeluarkan daripada syurga. Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan permintaannya” (HR Muslim)

Dibawah Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM telah menetapkan bahawa hari Jumaat merupakan hari untuk berusrah ataupun hari muzakarah berkelompok (MB).


Usrah merupakan salah satu sunnah Rasulullah S.A.W yang digalakkan dan merupakan salah satu cara dalam menyampaikan dakwah Islamiah . Ia adalah Sunnah yang sangat penting pada permulaan berkembangnya Islam dimuka bumi ini. Bagaimana pada awalnya Rasulullah membuat usrah dirumah Arqam bin Abi Al-Arqam untuk menyebarkan dakwah dalam keadaan berahsia, bersembunyi dan berjaga-jaga daripada diketahui oleh musuh Islam. Kita sepatutnya bersyukur kerana sekarang mudah untuk kita membuat dan melaksanakn usrah secara bebas dan tersangat rugi sekiranya kita tidak mengikuti usrah ketika berada dibumi anbiya’ ini. Hal ini kerana, usrah merupakan medan latihan untuk kita berdakwah dan berkongsi ilmu, mendapat pengisian rohani serta dapat membina fikrah yang jelas tentang Islam bersama sahabat-sahabiah kita di bumi mesir ini.

Dalam Fiqh Dakwah karangan Sheikh Mustafa Masyhur, beliau menyatakan rukun dakwah yang ketiga berkenaan uslub dakwah dan ciri-cirinya iaitu berdakwah secara berkelompok dan berorganisasi. Golongan yang dibina oleh Rasulullah S.A.W diikat dengan kesatuan aqidah, kesatuan kefahaman perjuangan dan kesatuan matlamat yang dikenali dengan nama sahabat. Antara kelebihan usrah ialah dapat melatih ahli membina keyakinan diri, membina kekuatan ukhuwah, mendidik ahli berfikir dan bertindak selari dengan Al-Quran dan As- Sunnah, melahirkan para ilmuan islam agar dapat menyebarkan risalah islam, serta membentuk biah solehah serta menolak unsur-unsur negatif.

Sehubungan dengan usul DPMM sesi ini iaitu “Memegakan muzakarah berkelompok disemua peringkat ahli dan mewajibkan penglibatan semua pihak” , saya selaku Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI menyeru kepada semua ahli DPMM supaya dapat bersama-sama DPMM dalam memegakan muzakarah berkelompok pada sesi ini.

Akhir kalam, selamat berusrah kepada semua dan rasailah kemanisan dalam berusrah, Ayuh mari bersama kita menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W.

Saya tujukan pantun ini kepada semua ahli DPM Mansurah.

Muzakarah berkelompok setiap minggu,

Untuk pengisian hati bersama teman,

Bersamalah kita penuhi dada dengan ilmu,

Untuk kegunaan kita dimasa depan.

Ardul kinanah ilmu dipelajari ,

Muzakarah berkelompok ada disini,

Biah solehah bersama dihayati,

Bersama memegakan usul DPMM sesi ini.


Disediakan oleh : Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI DPMM sesi 2011/2012


KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH


Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger