Info Terkini DPMM
print this page
Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan


Laporan Raya Aidilfitri ( Syukur 1430 )

Sambutan Kesyukuran Rai Lebaran (SYUKUR 1430)

Photobucket

Majlis Bermula : 08:00
Majlis Berakhir : 22:00
Tarikh : 5 Syawal 1430 Hijriah bersamaan 24 September 2009
Tempat : Dewan Persada Jazirah Al-Ward (DPJA)
Anggaran Kehadiran : 60 siswa dan 108 orang siswi
Anjuran : Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah

Dif Kehormat :

1-Mohamad Azlan bin Alias - Badan Ekonomi merangkap pemangku Naib Presiden III PMRAM (BP angkat DPM Mansurah).
2-Mohd Yazid bin Pardi - Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM.
3-'Izzati Farhana binti Mahadzir - Bendahari HEWI (HEWI angkat DPM Mansurah).
4-Samihah binti Abdullah - Naib Setiausaha HEWI.
5-Shahidatul Akma binti Mohd Sya'ary - Naib Pengerusi HEWI 3 merangkap Unit Muhafazah.
6-Nor Hidayah binti Che Yusof - Naib Pengerusi HEWI 2 merangkap Unit Dakwah dan Pembangunan Insan.
7-Nur Mazni binti Ahmad Pauzi - Naib Pengerusi HEWI 1 merangkap Unit Perancang dan Panitia.
8-Norhafiza bt Abdul Wahab - Setiausaha HEWI merangkap pemangku Timbalan Pengerusi HEWI.


Satu program yang dinamakan Sambutan Kesyukuran Rai Lebaran (SYUKUR) 1430 Hijriah telah dapat diadakan dengan jayanya baru-baru ini. Program yang diadakan ini merupakan kesinambungan akiviti yang saban tahun diadakan bagi mengeratkan lagi ikatan ukhuwah sesama ahli DPM cawangan Mansurah di samping menyambut kedatangan Syawal yang mulia.Majlis ini bertujuan mengerat tautan ukhuwwah di semua peringkat dan menanam sikap susah senang dirasai bersama.

Pada tahun ini majlis diadakan pada hari yang sama dengan waktu yang berbeza bagi siswi, siswa dan pasangan berkahwin.Antara menu yang disajikan hari tersebut ialah nasi kerabu, nasi impit, dan kuih-muih beraneka jenis.

Waktu pagi bagi siswi bermula seawal jam 8 pagi dan mendapat sambutan daripada mahasiswi Pengajian Islam mahupun Perubatan. Majlis SYUKUR ini dimeriahkan juga dengan kunjungan siswi-siswi dari cawangan lain untuk sama-sama meraikan lagi majlis ini.Kemeriahan sambutan ini diserikan lagi dengan kedatangan tetamu kehormat dari HEWI PMRAM sendiri, iaitu Ustazah Nur Mazni binti Ahmad Pauzi, Ustazah Nor Hidayah binti Che Yusof, Ustazah Shahidatul Akma binti Mohd Sya'ary, Ustazah Norhafiza bt Abdul Wahab, Ustazah Samihah binti Abdullah, dan tidak ketinggalan HEWI angkat DPM cawangan Mansurah, Ustazah 'Izzati Farhana binti Mahadzir. Kemeriah ini ditambah lagi dengan ucapan-ucapan raya, kuiz aidilfitri, serta tayangan video raya.Tidak kurang pula dengan celoteh juruhebah jemputan khas dari kalangan ahli sendiri yang menggamat suasana majlis ini.Sesi jamuan bagi siswi berakhir pada jam 12:30 tengah hari.

Pada jam 2 petang, kelihatan kedatangan tetamu daripada kalangan mahasiswa hadir bagi menjamu selera memeriahkan lagi sambutan Syawal yang diadakan. Saudara Bazli Hazwan, Tajuddin dan Ibnu Sufian merupakan tetamu terawal yang sampai bagi menjamu hidangan raya yang telah disediakan. Suasana majlis diperingkat siswa ini juga telah disajikan dengan pemancaran slide ucapan-ucapan raya yang telah disampaikan oleh mahasiswa mahasiswa yang berada di sini. Kedatangan ahli siswa yang begitu ramai menyebabkan ada antara mereka yang terpaksa menunggu bagi menanti hidangan yang tidak mencukupi. Suasana meriah ini diserikan lagi dengan kedatangan tetamu kehormat daripada PMRAM Pusat iaitu Ustaz Mohamad Azlan bin Alias dan Ustaz Mohd Yazid bin Pardi. Sedikit ucapan selamat hari raya telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Azlan bin Alias selaku BP angkat DPM Mansurah. Suasana bermaaf-maafan juga kelihatan antara pimpinan sesama ahli dan ahli sesama ahli dalam mengikat ikatan ukhuwah yang terjalin. Majlis siswa ini selesai pada jam 5 petang.


Photobucket



Pada sebelah malamnya pula, majlis diteruskan lagi dengan kunjungan raya daripada pasangan yang berkahwin bersama anak-anak mereka. Majlis yang bermula jam 8 malam dihadiri lebih daripada 13 pasang suami isteri menambahkan lagi kemeriahan suasana berhari raya ini. Seusai jam 10 malam majlis berakhir dengan sesi fotografi bersama madam dan AJK HEWI DPMM.


Photobucket


0 comments

Ucapan Salam Perantauan Dari Ahli DPM Mansurah

Assalamualaikum W.B.T.H

Kepada semua ahli DPMM sekalian. Berikut adalah beberapa sedutan rakaman video ucapan salam perantaun sempena menyambut perayaan aidilfitri 1430 dari Mahasiswa/wi yang sedang menuntut ilmu di cawangan Mansurah Mesir. Selamat menonton.

Ucapan Pertama



Ucapan Kedua



Ucapan Ketiga



Ucapan keempat



JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH
1 comments

Laporan : Majlis Khatam Al-Quran dan Penutup Ibadah Ihya' Ramadhan 1430 H

Photobucket

Majlis Bermula : 15:30
Majlis Berakhir : 18:15
Tarikh : 25 Ramadhan 1430 Hijriah bersamaan 15 September 2009
Tempat : Dewan Persada Jazirah Al-Ward (DPJA)
Perasmian Penutup : Al-Fadhil Ustaz Amaluddin Bin Arshad (Naib Setiausaha Agung merangkap Lajnah Pendaftaran dan Pemangku Badan Sambutan dan Rehlah PMRAM 2009
Kehadiran : 34 ikhwah dan 66 orang akhawat

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana kita sama-sama dapat mengadakan satu program yang cukup baik buat seluruh ahli DPMM pada baru-baru ini. Program yang diadakan ini di bawah anjuran Unit Dakwah dan Pembangunan Insan dengan kerjasama Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI DPMM sesi 2009/2010 telah berlansung selama 25 hari bermula 1 Ramadhan yang lalu. Pelbagai program menarik telah diadakan sepanjang bulan ramadhan ini antaranya ; Daurah Kitab Syamail Muhammadiah oleh Al-Fadhil Us Mohd Nazrul bin Abdul Nasir, Daurah Kitab Al-Waqt Indal Muslim oleh Al-Fadhil Us Salman bin Maskuri, Qiamullail, Tadarus Al-Quran, Ramah Mesra Bersama Pimpinan, Iftor Jamaie, Badar Gathering Day's(akhawat), Ceramah Badar Kubro oleh Us Hanafi dan, Majlis Khatam Al-Quran.

Photobucket

MAJLIS KHATAM AL-QURAN

Majlis ini telah bermula seawal jam 03:30 petang dengan kehadiran seramai 100 orang ahli yang telah memeriahkan majlis ini. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh kesemua ahli yang hadir dengan diketuai oleh saudara Daud bin Hassan. Bacaan Al-Quran dimulai dengan surah Ad-Dhuha sehingga surah terakhir iaitu An-Nass seterusnya disudahi dengan bacaan doa yang diimami oleh saudara Tuan Azman. Setelah selesai slot khatam Al-Quran, majlis diteruskan lagi dengan slot bersama Badan Pengurus PMRAM dan Hewi Angkat Mansurah.

SLOT BERSAMA BP DAN HEWI ANGKAT MANSURAH

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Ustzah Izzati Farhana selaku Bendahari (Ketua Unit Ekonomi) HEWI PMRAM yang juga merupakan HEWI angkat DPM Mansurah . Beliau telah memperkenalkan diri secara ringkas.Dalam ucapan, beliau telah melahirkan ucapan terima kasih kerana dijemput untuk ifthor bersama-sama ahli DPMM. Dalam ucapan terakhir, beliau telah menyampaikan satu harapan supaya setiap ahli dapat memberikan kerjasama yang terbaik dlm program-program yang dijalankan oleh dpm atau PMRAM pusat.

Majlis seterusnya disambung oleh Ustazah Shahidatul Akma bt Mohd Sya'ry selaku Naib Pengerusi HEWI III (Ketua Lajnah Muhafazah) PMRAM. Beliau juga telah memperkenalkan diri seara ringkas. Dalam ucapan, beliau telah meluahkan perasaan gembira kerana dapat bertemu ahli-ahli DPM. Beliau juga mengucapkan terima kasih kerana diraikan dalam suasana yang cukup meriah (majlis khatam Quran). Beliau juga mengingatkan DPM adalah merupakan anak kepada PMRAM dan mengharapkan kerjasama yang terbaik dari pimpinan dan ahli DPMM dalam memberi sumbangan tenaga dan buah fikiran untuk menjayakan agenda tarbiyah oleh pihak PMRAM pusat. Bantu dan sokonglah PMRAM, PMRAM pusat begitu mengharapkan pada ahlinya untuk menjaga DPM-PMRAM selari dengan dasar dan tujuan yang telah digariskan, begitulah pengharapan daripada beliau di akhir ucapan yang telah disampaikan.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada wakil BP angkat DPM Mansurah oleh Al-Fadhil Ustaz Amaluddin Bin Arshad. Dalam ucapan beliau telah memperkenalkan diri dan BP angkat Mansurah iaitu Al-Fadhil Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazimie dan Al-Fadhil Ustaz Mohamad Azlan bin Alias. Beliau telah menyampaikan salam daripada kedua-dua BP angkat DPM Mansurah yang tidak dapat hadir disebabkan beberapa kerja yang perlu diselesaikan diperingkat pusat. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak DPMM kerana sudi menjemput wakil daripada PMRAM pusat untuk menyertai majlis penutupan BADAR yang dikendalikan oleh DPMM pada sesi ini. Beliau juga mengharapkan agar kesatuan sesama ahli DPMM dapat dijaga dalam mencapai misi dan visi daripada PMRAM pusat sendiri.

Majlis seterusnya diserikan lagi dengan tayangan slide show berkenaan Al-Quran dan mukjizatnya dan tayangan bertajuk "Shift Your Paradigm" yang mana telah memberikan suntikan buat ahli DPMM berkenaan pentingnya kita sebagai azhari menjuarai isu ummah. Seterusnya slot kemuncak pada majlis ini diteruskan dengan ucapan perasmian penutup oleh Al-Fadhil Ustaz Amaluddin Bin Arshad (Naib Setiausaha Agung merangkap Lajnah Pendaftaran dan Pemangku Badan Sambutan dan Rehlah PMRAM 2009).

PENUTUPAN BADAR OLEH WAKIL PMRAM PUSAT

Majlis dimulai dengan ucapan daripada Pengarah BADAR-Pengerusi DPMM seterusnya Ustaz Amaluddin bin Arshad.

Us Amaluddin selaku wakil daripada PMRAM pusat telah menyampaikan beberapa perkara penting buat kita selaku mahasiswa/wi muslim. Antara isi kandung yang kita boleh ambil ialah; kita hendaklah sentiasa mengingati Firman Allah subahanahuwataala yang bermaksud :" Apabila kamu bersyukur maka akan aku tambah nikmat bagi kamu, sekiranya kamu ingkar maka sesungguhnya azabKu teramatlah pedih". Selaku seorang muslim seharusnya kita ingat tentang nikmat-nikmat yang Allah subhanahuwataala berikan pada kita dan kita perlu sentiasa meletakkan rasa takut kepada Allah subhanahuwataala. Sekiranya kita mengabaikan segala nikmat yang dikurniakanNya,bila-bila masa sahaja azab Allah akan menimpa kita. Beliau juga mengingatkan kepada kita berkenaan bulan ramadhan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, maka perlulah kita mempertingkatkan amalan kita walaupun detik-detik terakhir ramadhan ini akan berlalu. "Ramadhan yang sama,hasil yang berbeza" juga telah di ungkapkan oleh beliau. Jadikanlah ramadhan ini sebagai bulan penyucian jiwa dan rohani,yang dapat mendidik dan mengasuh hati kita bagi menguatkan jiwa dan rohani. Bulan ramadhan ini juga sebagai bulan untuk menaiktarafkan amalan dan kedudukan seseorang muslim itu berbanding dengan bulan-bulan lain. Beliau mengakhiri ucapan perasmian penutup ini dengan sebuah cerita yang mana seorang ahli ibadah selama 80 tahun tidak pernah melakukan maksiat dihadapan Allah subahanahuwataala. Tetapi apabila si ahli ibadah ini mati maka, dia dipersoalkan oleh Allah berkenaan sama ada beliau masuk syurga Allah adakah dengan amalan selama 80 itu atau dengan rahmat daripada Allah. Kisah ini dapat memberi satu motivasi kepada kita agar kita tidak hanya melakukan amal ibadah semata-mata malah rahmat daripada Allah juga perkara terpenting untuk menjamin kita sama ada ke syurga atau ke neraka. Ucapan selama 20 minit ini banyak memberi input dan pengajaran yang baik buat seluruh pendengar yang hadir pada program tersebut.

Photobucket

IFTOR BERSAMA BP DAN HEWI

Selepas program penutup BADAR berakhir,tibalah masa yang di nantikan oleh semua iaitu berbuka puasa bersama BP dan HEWI. Antara menu yang menarik pada program tersebut ialah ikan bakar bersama air asam tomato dan lain-lain. Majlis iftor ini telah memberi ruang kepada ahli untuk mengenal pimpinan PMRAM dengan lebih dekat lagi. Majlis diteruskan lagi dengan solat terawikh dan seterusnya majlis bersurai pada jam 10 malam.
0 comments

Makluman Pemangkuan

Assalamualaikum W.B.T

Photobucket
0 comments

Perang Badar & Nuzul Quran

Photobucket

Dua peristiwa besar dalam Islam yang berlaku pada 17 Ramadan ialah nuzul al-Quran dan peperangan badar. Nuzul al-Quran dalam konteks ini ialah penurunan al-Quran buat kali yang pertama.

Penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, al-Tabari, Ibn Hisyam, al-Asqalani dan Ibn Sayyid al-Nas mencatatkan bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W. bertahannuth di gua Hira'.

Baginda dilaporkan pergi ke gua Hira' bersama-sama isterinya Khadijah. Ketika sedang tidur, baginda didatangi Jibrail yang memintanya membaca. "Bacalah! Namun, Nabi Muhammad SAW menjawab: Apa akan ku baca (wa ma aqra'?)"

Sebaik sahaja mendengar jawapan Nabi Muhammad SAW, Jibrail terus memeluk baginda dengan kuat sehingga baginda sukar untuk bernafas. Kemudian baginda dilepaskan lalu disuruh lagi: "Bacalah! Nabi Muhammad masih menjawab: Apa akan ku baca?" Lalu Jibrail menarik dan memeluknya sekali lagi. Perkara ini berterusan sehingga beberapa kali.

Lalu Jibrail melepaskan Nabi Muhammad SAW dan seterusnya membacakan lima ayat pertama dari surah al-Alaq. Selepas itu, barulah Jibrail pergi dari situ dan nabi segera terjaga dari tidurnya.

Lima ayat pertama dari surah al-Alaq inilah yang pertama diturunkan kepada baginda SAW. Lima ayat ini jugalah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa nuzul al-Quran.

Apa pula kaitan antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar? Untuk melihat lebih lanjut mengenai perkara ini, mari kita lihat pandangan-pandangan yang timbul mengenai tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran. Pandangan-pandangan inilah nantinya akan membawa kita kepada hubung kait antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar.

Ulama menyepakati bahawa nuzul al-Quran berlaku pada hari Isnin. Jika ditinjau pandangan Ibn Kathir, kita akan dapati bahawa persepakatan ini disandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW sendiri ketika ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada hari Isnin dan al-Quran juga diturunkan kepadanya pada hari Isnin.

Sekalipun terdapat persepakatan dari segi hari berlakunya peristiwa nuzul al-Quran, namun terdapat perselisihan pendapat dari segi tarikh dan bulan berlakunya peristiwa tersebut.

Beberapa tarikh telah dilaporkan oleh sumber sejarah Islam sebagai tarikh berlakunya nuzul al-Quran seperti 10 Ramadan, 17 Ramadan, 18 Ramadan ataupun 24 Ramadan.

Selain bulan Ramadan, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Rabiulawal atau bulan Rejab. Walau bagaimanapun, pandangan yang paling masyhur menyebut bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Kebanyakan sumber sejarah Islam yang menyebut mengenai perkara ini di dapati melaporkan pandangan Ibn Ishaq.

Mari kita lihat apa pula bukti yang mengukuhkan hujah bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Menurut kebanyakan penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, Ibn Hisham, Ibn Kathir, al-Suhayli dan juga al-Bayhaqi, ayat 185 surah al-Baqarah adalah bukti jelas bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Ini terbukti menerusi apa yang boleh difahami dari ayat tersebut iaitu, "bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu…".

Selain ayat tersebut, terdapat juga ayat lain yang turut digunakan sebagai bukti bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya ialah ayat 41 surah al-Anfal.

Menariknya ialah, ayat ini tidak hanya menentukan bulan berlakunya peristiwa tersebut. Bahkan ia juga turut mendedahkan tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran itu sendiri.

Ini boleh difahami menerusi maksud ayat tersebut iaitu ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami Muhammad di hari Furqan iaitu hari bertemunya dua pasukan.

Apa yang dimaksudkan dengan hari bertemunya dua pasukan di sini ialah pertemuan antara orang Islam dan orang kafir dalam peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadan.

Oleh kerana ayat 41 sebelum ini menjelaskan mengenai nuzul al-Quran berlaku pada hari tersebut, maka tarikhnya pastilah 17 Ramadan. Cuma bezanya, peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah.

Walau bagaimanapun, baik nuzul al-Quran mahupun peperangan Badar, kedua-duanya adalah peristiwa besar dalam sejarah Islam. Nuzul al-Quran menjadi titik tolak kepada pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah untuk membawa risalah Islam.

Peperangan Badar pula mencerminkan kekuatan pihak Islam hanya dalam tempoh lebih kurang dua tahun selepas mereka meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah.

Sumber : www.pmram.org

0 comments
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger