Info Terkini DPMM
print this page
Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan


Kalam Pimpinan


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Dialah yg maha Pemurah dan maha Penyayang, yang menguasai hari pembalasan.
Selawat dan salam ke atas imam para muttaqiin dan pemimpin para mujahidin, Saidina Muhammad Nabi SAW yang amanah, juga ke atas para isteri-isteri baginda, anak-anak baginda, sahabat-sahabat baginda, yang telah menyucikan jiwa lalu mereka berjaya, yang memberikan nasihat kepada saudara-saudara lalu mereka mendapat manfaat.
Wahai Tuhan kami, muliakanlah kami dengan kemuliaan mereka, berikanlah taufiq dan hidayah kepada kami dengan taufiq dan hidayah yang Engkau berikan kepada mereka, dan jadikan kami orang yang mengikuti mereka serta himpunkanlah kami bersama mereka di bawah bendera penghulu kami Sayyidina Muhammad SAW. Sesugguhnya Engkaulah yang paling Pemurah dan Engkaulah sebaik-baik tempat mengharap.

Sahabatku mahasiswa dan mahasiswi yang diberkati Allah selalu,

Sesungguhnya semenjak terpancarnya fajar Islam, kita telah diuji dengan pelbagai permusuhan yang sememangnya tidak menginginkan kebenaran. Pada hari ini, generasi kita berhadapan dengan gelombang Atheis (kehidupan tanpa kewujudan Tuhan), sekular (kehidupan mengikut akal manusia), globalisasi (dunia tanpa sempadan), liberal (tidak membezakan agama dan kehidupan) dan ideologi-ideologi yang mengharuskan segala sesuatu, yang diserapkan kepada kita dari timur dan juga barat bertujuan menyesatkan golongan muda-mudi, merosakkan generasi serta menakutkan kita terhadap masa depan pemikiran akidah yang kita miliki, dengan ancaman bahawa ia akan menuju kegelapan yang mencengkam.
Dalam suasana gelombang ini, kita tidak mungkin mampu melawan pertembungan pemikiran tanpa kita bepegang dengan tali Allah yang sememangnya kukuh dan juga tanpa terlalu mementingkan perbezaan (khilaf) di dalam perkara-perkara kecil yang merupakan ijtihad serta hendaklah kita mengikat hati dengan Allah Ta'ala yang mana bertujuan untuk memperolehi kekuatan, ketenangan, kehebatan, serta kemuliaan daripaNYA. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

"Dan bahawa inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa". (Al-An'aam: 153)

Sahabatku mahasiswa dan mahasiswi yang dirahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya kita selaku umat yang beriman dengan Islam dituntut untuk beramal dengan apa yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW dan berusaha untuk merealisasikan matlamat-matlamatnya di alam nyata. Untuk merealisasikannya, maka kita mestilah memiliki kefahaman Islam yang jelas. Kita juga mestilah memiliki niat yang ikhlas sehingga amal kita itu diterima di sisi Allah Ta’ala. Umat Islam mestilah memiliki kesatuan dan jamaah untuk berkuasa merealisasikan matlamat Islam di alam ini dengan bentuk yang paling baik. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
"Mereka yang menyampaikan risalah Allah, mereka takut kepadaNya dan tidak merasa takut kepada seorangpun yang lain dari Allah, dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan".(Surah Al-Ahzab: ayat: 39 )
Kesatuan adalah amat penting dalam Islam untuk mencapai matlamat sebenar. Pembentukan ummah, pendidikan bangsa, pencapaian cita-cita dan pendokongan prinsip amat diperlukan keseluruhan umat yang mana tidak dapat tidak mestilah mempunyai aspek-aspek yang penting, antaranya :
* Kekuatan jiwa yang besar yang dijelmakan di dalam keinginan yang kuat, dan tidak diresapi oleh sebarang kelemahan.
* Kesetiaan yang tetap berkekalan, tidak dijangkiti oleh sebarang warna atau tipudaya.
* Pengorbanan suci yang tidak dapat dihalang oleh sifat tamak dan bakhil.
* Mengetahui prinsip, beriman dengannya dan dapat menilai kedudukannya sehingga dapat mengawal dari sebarang kesalahan, penyelewengan atau tertipu oleh perkara lain.
(Majmu'ah Rasaail - Ke arah mana kita menyeru manusia: 45)

Sesungguhnya amalan Islam ini sentiasa berhajat kepada titik permulaan yang selamat, sekalipun jalannya panjang tetapi ia akan sentiasa berkembang subur. Asy-Syahid Iman Hassan Al-Banna telah memilih asas pembinaan yang bermula dari pembinaan individu, keluarga dan masyarakat muslim yang tidak syak lagi akan membuahkan sebuah negara Islamik. Di antara tanda permulaan yang baik ialah tidak mengalpakan pengambilan sepenuhnya terhadap sebab hakiki. Kemudian bertawakkal kepada pencipta sebab (Allah) pada setiap perkara, sebelum dan selepasnya. Firman Allah Ta’ala bermaksud :

"Maka apakah orang-orang yang mendirikan bangunannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaanNya itu yang baik, atau orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersamanya ke dalam neraka Jahannam". (At-Taubah: 109)
Ahli Sufi mengatakan : "Jadikanlah amalanmu itu seperti garam dan adabmu seperti gandum"

Sahabatku mahasiswa dan mahasiswi yang diredhai Allah hendakNya,
Hidup bermasyarakat adalah antara faktor penting perkembangan dakwah islamiah. Perpecahan umat islam masa kini melemahkan dakwah islamiah akhir zaman yang mana adalah dari kesilapan kita sendiri yang tidak mengamalkan apa yang telah disyariatkan kepada kita. Islam mewajibkan ke atas kita bermuamalat sesama insan dalam kehidupan bermasyarakat untuk mendapat kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Maksud firman Allah Ta’ala :
"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang bertakwa. Sungguh, Allah maha Mengetahui, maha Teliti ". (Al-Hujurat: 13)

Menurut Islam setiap manusia ada peranannya dan setiap peranan harus diberikan haknya, tanpa ada paksaan dan tanpa ada pertembungan mengikut asas-asas dan kaedah-kaedah seperti mengenal batas diri dan melakukan apa yang sepatutnya dilakukan, menghormati orang-orang tua ataupun orang yang berpengalaman, dan menerima apa jua kebenaran yang ada walaupun dari mana, selagimana tidak lari dari landasan Islam sebenar. Dengan ini dapatlah kita melakukan perubahan yang di anjurkan Islam selari dengan tuntutan ideologi kini yang telah banyak dikuasai oleh barat meresapi jiwa dan kehidupan seharian kita.
Ahli Falsafah Yunani Aristotle pernah menulis dalam karya terawalnya, Exhortation to Philosophy bahawa ‘mencari kebijaksanaan suatu kepuasan, semua orang berasa senang dengan falsafah dan ingin menghabiskan masa dengannya (falsafah) dan meninggalkan semua yang lain.’ Beliau mengajak manusia untuk menjalani kehidupan seperti mana yang kita sendiri mahu. Kita tidak boleh menjalani kehidupan atas kehendak orang lain. Kebahagiaan dalam sebuah kehidupan amat penting. Hal ini kerana dengan kehidupan yang bahagia akan mewujudkan jiwa yang tenteram. Hal inilah yang di maksudkan oleh Aristotle. Jika kita hidup mengikut kehendak orang lain nescaya hati kita dan jiwa kita akan memberontak mahukan kebebasan. Manusia yang tidak bebas dalam kehidupan akan mudah mengalami kemurungan. Manusia yang mengalami kemurungan akan sentiasa beranggapan dunia ini tidak menyeronokkan. Sedangkan dunia ini penuh dengan warna-warni keceriaan. Hal ini disebabkan manusia melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan keikhlasan diri sendiri dan tiada paksaan. Maka pekerjaan itu dilakukan dengan mudah dan perasaan yang mengembirakan. Pekerjaan yang susah juga akan menjadi senang. Namun, semuanya perlulah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, kehidupan Rasulullah SAW dan kehidupan sahabat-sahabat baginda SAW. Seperti mana kaedah Fiqh yang bermaksud : “Matlamat tidak menghalalkan cara”.

Sahabatku mahasiswa dan mahasiswi yang dilindungi Allah sekalian,

Islam menekankan kebahagiaan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat. Kita sering kali alpa dengan kehidupan kini yang tergelincir dari panduan Islam sebenar. Cuba kita muhasabah diri kita, adakah kehidupan seharian kita benar-benar berpandukan ajaran Islam sebenar? Selaku kepimpinan, saya fokuskan kepada kehidupan kita dalam kesatuan dan sosiologi (masyarakat) selaku kita mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di bumi yang penuh keberkatan ini. Bagaimana hubungan kita antara satu sama lain? Kita adalah golongan pendakwah yang menegakkan syiar Islam akhir zaman. Tapi sebenarnya kita sendiri tidak beramal dengan keindahan Islam sendiri. Saya berpegang dengan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“Wahai orang-orang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada diantara kamu mengunjing sebahagian yang lain. Apakah ada diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah maha Penerima Taubat, maha Penyayang” (Al-Hujurat : 12)

Jelaslah tiga larangan Allah Ta’ala dalam ayat ini adalah untuk kita membina kehidupan bermasyarakat yang aman, bahagia, dan sejahtera. Kita dijadikan adalah sebagai khalifah di muka bumi ini, tidak dapat lari dari kepimpinan. Baik pada diri, keluarga, agama, dan masyarakat. Apabila kita mengaku kita seorang Islam, jadi kita tidak dapat lari dari perintah menyuruh kepada kemakrufan, dan mencegah kepada kemungkaran.
Ulama tasawuf juga mengatakan : " Janganlah kamu melihat kepada keaiban kecuali kamu meyakini ianya ada pada dirimu, keaiban itu jelas lagi nyata, akan tetapi ianya tersembunyi"

Saya selaku kepimpinan Dewan Mahasiswa/wi Mansurah 08/09 mengharapkan kehidupan yang bahagia, sejahtera, aman, dan harmoni antara kita. Konsep belajar dan mengajar antara satu sama lain adalah jati diri saya dalam kehidupan. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“Katakanlah, apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran” (Az-Zumar : 9)
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan At-Tarmizi yg bermaksud : "Ketua sesuatu kaum ialah orang yg berkhidmat untuk kaum mereka"

Di kesempatan ini, saya memohon maaf di atas kekurangan diri saya sepanjang berada dalam kepimpinan kepada semua insan yang berasa disekeliling saya. Harapan saya agar kita terus mendapat kerahmatan, keredhaan, keberkatan, dan perlindungan dari Allah Ta’ala hingga akhirnya di dunia dan di akhirat demi menegakkan kehidupan Islam sebenar. Sama-samalah kita bersatu dalam kesatuan yang dasar dan perlaksanaannya berpandukan garis panduan Islam sebenar demi memartabatkan Islam dipersada dunia akhir zaman.
Ya Tuhan kami, hanya kepada Engkaulah kami bertawakal, dan kepada Engkaulah kami bertaubat dan kepada Engkaulah kami kembali, ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir, dan ampunilah kami ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah maha Perkasa dan maha Bijaksana. (Al-Mumtahanah :4,5)


Sekian dari saya. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hamba yang fakir kepada Allah yang maha Kaya,


Abdul Hafiz bin Yusop
Ketua Unit Sambutan dan Rehlah,
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah 08/09.




1 comments

Info Kesihatan : Selsema Babi


Selsema babi virus A (H1N1) adalah penyakit yang berkaitan pernafasan babi disebabkan oleh virus selsema jenis A yang merebak diantara babi.Penyakit ini jarang menjangkiti manusia namun ia mula merebak sesama manusia dan dipercayai hanya terhad sehingga orang ketiga, menurut laporan dari CDC(Centers for Disease Control and Prevention) namun masih tidak diketahui secara tepat bagaimana ia merebak sesama manusia.

Penyebaran virus ini sama seperti selsema bermusim, ia merebak melalui batuk atau bersin.Sesetengah orang dijangkiti melalui sentuhan pada benda yang menpunyai virus selsema sebelum menyentuh mulut atau hidung mereka.Pesakit selsema ini boleh menjadi pembawa kepada yang lain seawal satu hingga 7 hari sebelum simptom kelihatan tanpa disedari oleh pesakit.Penyakit ini boleh merebak dalam masa dua hari selepas simptom kelihatan terutama pada kanak-kanak.

Antara simptom-simptom yang jelas adalah sama seperti selsema biasa iaitu demam,batuk,sakit tekak,sengal badan,pening,kesejukan dan keletihan. Ada diantara pesakit dilaporkan menghidapi cirit birit dan muntah-muntah. Sebelum ini,terdapat juga laporan beberapa penyakit seperti pneumonia(kegagalan system pernafasan) dan kematian di kalangan pesakit sama seperti simptom yang terdapat pada pesakit selsema bermusim.
Untuk kanak-kanak simptom-simptom yang sangat perlu diambil perhatian ialah :

1) Permasalahan ketika bernafas

2) Warna kulit kebiru-biruan

3) Tidak minum banyak air

4) Tidak aktif

5) Cepat marah

6) Mengalami demam dan batuk teruk selepas pulih dari selsema

7) Demam bersama ruam

Untuk dewasa,simptom-simptom ini perlu diberi perhatian :

1)Sukar bernafas

2) Sakit atau tekanan pada dada dan abdomen

3) Pening dan muntah

4) Keliru (bukan sebab terlalu banyak membaca)

Untuk merawat penyakit ini daripada merebak dalam badan,CDC telah menasihatkan agar pesakit menggunakan oseltamivir atau zanamivir (sejenis'Antiviral drug').Ia boleh didapati dalam bentuk pil,ubat cecair atau inhaler(Sila rujuk farmasi dan doktor pakar mengenai cara pengambilan dan bilangan dos yang diperlukan).

Pun begitu,tiada sebarang vaksin khusus untuk menghindarkan atau mengubati penyakit ini. Hanya aktiviti harian sahaja yang boleh mengelakkan kuman ini daripada merebak seperti:

1) Tutup mulut dan hidung ketika bersin dan buangkan tisu yang telah digunakan dalam tong sampah.Jika tiada tisu, gunakan tangan ketika bersin dan batuk serta basuh tangan setiap kali lepas bersin atau batuk.

2) Basuh tangan menggunakan sabun dan air sekerap mungkin terutama selepas batuk atau bersin.Penggunaan pembersih tangan daripada alkohol sangat berkesan.

3) Elakkan dari menyentuh mata ,hidung dan mulut.

4) Cuba elakkan dari duduk berdekatan dengan pesakit ini.

5) Jika anda menghidapi selsema,CDC menasihatkan agar duduk dirumah serta mengehadkan aktiviti luaran.

Akhir kalam, jagalah diri anda menjelang imtihan ini.Selamat menghadapi imtihan.


Disediakan Oleh :
Timbalan Setiausaha Agung
( Unit Kebajikan dan Kemanusiaan ) sesi 2008/2009

"JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH"
1 comments

Salam Imtihan Dari Kepimpinan DPMM Sesi 2008/2009

Photobucket


" JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH"
0 comments

Kalam Pimpinan

Assalamualaikum Warahmatullahhi wabarakatuh.

Alhamdulillah seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT, dengan limpah rahmat
dan kasih sayangNya kita masih lagi dapat menikmati nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam buat Nabi junjungan Saidina Muhammad SAW yang tidak pernah kenal erti derita dan putus asa dalam menyampaikan risalah dakwah buat umatnya sehingga kewafatan Baginda serta sahabat baginda yang senantiasa mendokong perjuangan nabi tanpa ada tolok bandingya.

Sahabat-sahabat azhariyyun yang dikasihi fillah,

Setelah sekian lama Allah menjadikan kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini adalah tidak lain semata hanya untuk beribadat kepadaNya.Dalam firman Allah ta'ala yang mana mafhumnya:

"...Tidaklah Aku ciptakan manusia dan jin itu melainkan untuk beribadat kepadaKu..".

Melalui mafhum ayat ini dapat kita selami bahawa tanggungjawab kita amat banyak dan besar sekiranya kita betul-betul mengamati dan menyedari hakikat ini. Beribadat yang dibawa dalam ayat ini bukan semata menjurus kepada perkara-perkara fardhu yang biasa kita lakukan seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan lain-lain, malah ia adalah jauh lebih luas dari apa yang kita sering fikirkan.

Tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar Muslim perlu kita dititik beratkan demi menjamin kesejahteraan pembinaan dan pembentukan generasi akan datang. Golongan syabab iaitu
mahasiswa sepatutnya perlu ada sikap bersungguh-sungguh untuk memberi dan menerima ilmu demi mencapai kepakaran mengikut kelebihan masing-masing untuk menghadapi masyarakat di
luar sana yang amat memerlukan bantuan kita. Kesungguhan dalam pembelajaran di institusi adalah sangat dituntut demi pengeluaran produk-produk yang bermutu yang bakal
dipersaksikan masyarakat dunia amnya danMalaysia khususnya.Skop pembelajaran yang ana fokuskan disini bukanlah hanya pembelajaran buku-buku kuliah tapi pelbagai kemahiran yang perlu kita pelajari disini.Antaranya, kemahiran berkomunikasi,kemahiran
berorganisasi,kemahiran penulisan dan sebagainya.

Wahai saudaraku sesama Muslim,

Sedar atau tidak kita semakin hampir dengan medan peperiksaan yang menuntut untuk kita mengutamakan pembelajaran dalam mencapai kejayaan yang bakal membanggakan kedua
ibubapa kita yang berada jauh dari pandangan mata. Sesungguhnya ketika ini pasti ramai yang mempergiatkan sesi pembelajaran, penghasilan nota, study group dan juga amalan-amalan sunat seperti solat malam, sedekah jariah untuk yang memerlukan yang mana ia sedikit sebanyak membantu mempermudahkan urusan kita sepanjang imtihan.

Maka benarlah firman Allah dalam surah Ibrahim ayat ke-7 yang mana mafhumnya..

"sekiranya kamu bersyukur nescaya akan Aku tambahkan dan sekiranya kamu mengkufuri nikmatKu sesungguhnya akan menerimaa zabKu yang amat pedih sekali..."

Justeru itu, menyedari hakikat tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar, ahli bait , pemimpin, ahli, anak, ayah atau ibu,kesemuanya menuntut pengobanan yang jitu untuk menjamin kebahagiaan dari kejayaan yang bakal dikecapi. Dalam pada itu,perkara penting yang perlu kita titikberatkan disini,yang menjadi raja bagi seluruh badan dan menguasai seluruh anggota kita adalah hati.Jadi,jagalah sebaik-baiknya hati kita supaya tidak diracuni oleh musuh kita iaitu syaitan.

Dikesempatan masa yang Allah berikan ini,ana serta seluruh saff kepimpinan DPMM 08/09 memohon jutaan kemaafan atas kesilapan,kesalahan dan tanggungjawab yang tidak tertunai.

Sama-sama kita mempergiatkan pembelajaran di samping amalan-amalan sunat agar berjalan seiring supaya ia menjadi satu amalan yang akan menjadi wasilah kita dalam mencapai kejayaan
yang cemerlang dalam peperiksaan yang mendatang. Di samping itu, sama-samalah kita mendoakan kecemerlangan untuk sahabat-sahabat kita yang lain. Semoga dengan kita
mendoakan sahabat kita yang lain diluar pengetahan mereka, maka doa itu juga malaikat akan turut mendoakan perkara yang sama untuk kita kerana doa seorang hamba untuk hambanya yang lain adalah doa yang mustajab.

Selamat berjuang di medan imtihan dunia...Wassalam.


Untukmu Islam..Dulu kini selamanya,

ANSORIAH BINTI ABU BAKAR
Naib Pengerusi I HEWI DPMM 08/09
3 comments
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger