LAPORAN MAJLIS SOLAT HAJAT DAN BACAAN YASIN


Mansurah, 26 Mac, Khamis –Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI, PMRAM cawangan Mansurah sekali lagi menganjurkan majlis solat hajat dan bacaan yasin bagi menghadapi imtihan yang bakal tiba tidak lama lagi. Majlis bermula sekitar jam 8.00 pagi bertempat di DPJA dengan kehadiran mahasiswi Mansurah seramai 70 orang yang terdiri daripada mahasiswi pengajian Islam, kuliah dan qiraat.

Majlis dimulakan dengan alunan qasidah yang dipimpin oleh Saudari Fatimahtuzzahrah binti Mat Som @ Othman dan Saudari Noor Azimah binti Arba’ain. Seterusnya majlis diteruskan dengan solat taubat, solat hajat dan bacaan yasin. Suasana hening menyelubungi segenap ruang DPJA. Rintihan doa dipanjatkan agar diberikan kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat, juga semoga urusan imtihan berjalan dengan lancar dan mudah sehingga ke penghujungnya.

Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan ucapan dan kata-kata azimat daripada wakil setiap syukbah bagi menyampaikan kalam nasihat yang berharga dan memberikan suntikan semangat kepada sahabat-sahabat yang lain agar terus berjuang tanpa mengenal erti putus asa.

Majlis diserikan lagi dengan ucapan dan kata-kata semangat teristimewa daripada Saudari Intan Soraya binti Hasyim, Ketua Unit Pengetahuan dan Penyelidikan HEWI PMRAM merangkap Hewi angkat Mansurah agar seluruh mahasiswi yang bakal menduduki imtihan tidak gentar untuk menghadapinya malah lebih banyak mendekatkan diri kepada Robbul Jalil. Beliau juga menyeru supaya sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT mahupun hubungan sesama manusia agar ukhwah Islamiah akan terus kekal berpanjangan hingga ke akhir hayat.

Tidak dilupa juga ucapan daripada Naib Pengerusi 1 HEWI DPMM, Saudari Noor Zailin binti Maat. Beliau memulakan ucapan dengan kalam taujihat buat semua mahasiswi yang bakal memduduki imtihan. Beliau juga berpesan agar terus thabat dalam perjuangan dakwah dan sentiasa memberi komitmen kepada PMRAM dan DPM yang tercinta sebagai wasilah untuk berbakti kepada agama Allah SWT.

Tidak ketinggalan juga , ucapan daripada Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI DPMM, Saudari Nor Nadiah binti Che Yusof, beliau mengingatkan tentang ciri-ciri orang mukmin yang berjaya sepertimana yang telah diajarkan oleh Allah SWT dalam surah al-mukminun.Kata-kata yang terakhir daripada beliau agar semua mahasiswi sentiasa memelihara maruah diri daripada perkara-perkara mungkar yang dibenci oleh Allah SWT,tidak kira di manapun berada.

Sebelum berakhirnya majlis, hadirin dihidangkan dengan sedikit tayangan slide show yang memperingatkan tentang bahayanya penggunaan facebook dan pengharamannya apabila kita menggunakannya tanpa berlandaskan syara’. Semoga kita sebagai hamba Allah terhindar daripada perkara-perkara yang mungkar, dan sama-sama membina ‘Biah Solehah’ demi kepentingan Islam. Majlis diakhiri dengan bacaan tasbih kafarah dan surah Al-Asr. Majlis selesai sekitar jam 11.30 pagi.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”

Maslina Binti Mohd Rosdi,
Ahli Jawatankuasa,
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI,
PMRAM cawangan Mansurah,
Sesi 2010/2011.
Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger