SUA DPMM : Ahli DPMM Perlu Hadiri MAT DPMM Kali Ke-18


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, pertamanya marilah sama-sama kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t. Lafaz salam dan selawat ditujukan buat junjungan mulia pesuruh Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi', tabii'n, serta mereka yang sentiasa berjuang menegakkan kebenaran sehingga ke hari kiamat.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,

Firman Allah s.w.t bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".(Al-Baqarah:183).

Alhamdulillah, hari ini seluruh umat islam menyambut satu bulan yang penuh kemuliaan dan penuh barakah padanya iaitu bulan ramadhan. Ianya kerana di sana mempunyai pelbagai peristiwa-peristiwa yang menakjubkan serta kelebihan-kelebihan tersendiri. Antaranya ialah peristiwa Malam Lailatul Qadar. Pada bulan ini seluruh umat islam diwajibkan berpuasa atau menahan diri daripada makan dan minum selama sebulan. Dalam erti kata lain menahan diri daripada memenuhi kehendak hawa nafsu bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Kita perlu sedar dan sentiasa bermuhasabah diri kembali sejauh mana amalan kita. Adakah setiap hari kita melaksanakan suruhan Allah s.w.t atau masih lagi kita gagal melaksanakan segala suruhannya.

Firman Allah s.w.t bermaksud:"Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat balasannya.(Surah Az-zalzalah:7-8).

Hari ini, Allah s.w.t masih mengurniakan kita akan nikmat-nikmatnya. Organisasi berpersatuan juga adalah salah satu diantara nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh-Nya. Ini kerana di dalamnya kita diajar mempelajari selok-belok cara-cara memimpin, mengurus sesebuah organisasi, mengurus ekonomi dan lain-lain. Menyentuh tema PMRAM 2010 "KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH", sebagai mahasiswa/wi di Perlembahan Nil ini, kita perlu memantapkan diri dengan pelbagai ilmu samaada ilmu turathi mahupun muasarah. Muzakarah Berkelompok juga adalah salah satu wasilah kepada kita sebagai mahasiswa/wi agar dapat memantapkan fikrah sesama ahli usrah, bertukar-tukar pandangan, mengeratkan ukhuwah sesama kita dan lain-lain.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,

Sebagai mahasiswa/wi Al-Azhar yang mempelajari ilmu-ilmu agama, kita hendaklah memelihara diri agar tidak terjebak dengan anasir-anasir yang tidak elok. Akhlak seseorang itu melambangkan kecantikan dan kemurniaan agama islam itu sendiri. Sebaik-baik akhlak ialah akhlak Rasulullah s.a.w sehingga dikatakan akhlak baginda s.a.w adalah Al-Quran. Akhlak baginda menjadi sumber rahmat dalam menghasilkan kebaikan dan menjauhkan keburukan hanya akan diikuti oleh manusia beriman yang mempunyai tiga syarat iaitu mengharapkan redha Allah, mengharapkan akhirat dan pertemuan dengan Allah serta mengingati Allah banyak-banyak.

Sebagai pimpinan bagi sesi 2009/2010 PMRAM Cawangan Mansurah, saya menyeru kepada seluruh ahli DPMM yang saya kasihi, marilah sama-sama kita perbaiki diri ini agar mendekatkan diri lagi kepada Sang Maha Pencipta, agar menjadi insan yang lebih baik, dapat menunjukkan akhlak yang terpuji buat teman-teman di luar sana, sentiasa bersyukur di atas segala nikmat Allah s.w.t kepada kita dan lain-lain.

Insya-Allah pada 21 & 23 Ogos ini di bawah Jabatan Setiausaha Agung & Setiausaha HEWI akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan HEWI & DPMM kali ke-18. Sehubungan itu, saya mengucapkan selamat bermesyuarat dan bersidanglah dalam keadaan aman serta tenteram. Jadikan MAT ini sebagai medan untuk kita bertukar-tukar pandangan, bukan sebagai tempat untuk kita menuding jari dalam mencari kesalahan atau aib seseorang mahupun pimpinan ataupun ahli. Moga perjalanan MAT ini berjalan dengan lancar. Mohon maaf di atas segala kesilapan dan kelalaian saya sepanjang memikul amanah pimpinan bagi sesi 2009/2010 ini. Semoga pimpinan akan datang bagi sesi 2010/2011 lebih baik dari pimpinan sebelum-sebelum ini. Tahniah & takziah saya ucapkan.

Siru A'la Barakatillah

Salam perjuangan buat semua!

"KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH"

MOHD ALIF JUNAIDI BIN HAJI ABDULLAH
Setiausaha Agung
DPMM sesi 2009/2010
Share this article :
 
MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
Copyright © 2012. LAMAN RASMI : Dewan Perwakilan Mahasiswi Mansurah - All Rights Reserved
Template Created by MMC Mansurah
Proudly powered by Blogger