
Majlis yang bermula sekitar jam 8.30 pagi, dimulakan dengan ucapan dari Pengarah Program M.I.M '08, iaitu Ustaz Amir Hamzah b.Kamil.Dalam ucapannya,beliau mengharapkan agar program ini dapat memberi manfaat dan seterusnya dapat memotivasikan diri agar lebih bersemangat dan lebih bersedia untuk menempuh peperiksaan.Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan kalam dari Ketua Unit Pendidikan dan Pengetahuan(UPEP) DPMM 08/09,iaitu Ustaz Abdul Rahman b. Yusoff dan majlis disusuli pula dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi DPMM Sesi 2008/2009, Ustaz Amin Taufiq bin Mohd Rifain. Dalam ucapan beliau telah menegaskan bahawa betapa perlunya menuntut ilmu tanpa mengira had batasan umur.
"Letakkan diri kita setinggi langit, jangan meletakkan diri kita serendah rumput, kelak akan dipijak orang. Harapan saya agar mahasiswa dan mahasiswi Al-Azhar tidak mensia-siakan ilmu yang dipelajari agar dapat mencapai sasaran DPMM 2004-2009 iaitu thaqafah dan sifar rasib," katanya yang juga turut merasmikan majlis perasmian.
Majlis diteruskan dengan slot motivasi yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Muhamad Zuhaili Saiman, Ketua Badan Ekonomi PMRAM.
Di dalam ceramah motivasinya, Ustaz Muhamad Zuhaili mengatakan bahawa motivasi ini perlu sebagai semangat atau peransang atau tazkirah. Di samping itu juga, beliau turut menyatakan bahawa perlunya wujud rasa cinta pada ilmu dan meletakkan matlamat yang tinggi untuk berjaya. Selain itu, membuat jadual belajar yang sistematik juga perlu supaya tidak berlaku 'study last minute'.
Beliau juga turut menyatakan tiga sebab doa tidak dimakbulkan. Antaranya ialah:-
- Sebab Allah menggantikan dengan benda yang lain.
- Allah menggantikannya di akhirat.
- Allah menggantikannya dengan menolak bala.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi soal jawab bersama penceramah motivasi dan majlis berakhir sekitar jam 12 tengah hari.
"JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH"