Assalamu'alaikum W.B.T
Tarikh : 11 Ramadhan 1432 H bersamaan 11 Ogos 2011
Hari : Khamis
Masa : 7:00 pagi - 5:30 petang
Tempat : Dewan Persada Jazirah al-Ward, Utubis Jadid
Kehadiran : 143 orang
Dif Jemputan : Naib Presiden I PMRAM (Ketua Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan), Ketua Badan Ekonomi PMRAM, Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM, Naib Pengerusi HEWI III (Ketua Unit Muhafazah HEWI PMRAM) dan Ketua Unit Pengetahuan dan Penyelidikan HEWI PMRAM
Mansurah,11 Ogos - Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-19 telah diadakan di Dewan Persada Jazirah Al-Ward (DPJA) dengan jayanya. Seramai 143 orang perwakilan dan pemerhati telah menghadiri persidangan mesyuarat agung ini.
Majlis perasmian dimulai dengan ucapan pembukaan oleh pengerusi umum (Saudara Syed Muhammad Syamim bin Syed Abdul Aziz), diikuti alunan ayat-ayat suci al-Quran oleh Saudara Ahmad Sahli Mahzuz bin Ismail. Seterusnya ucapan Pengarah MAT (Saudara Md Nuzul Haqimi bin Ibrahim) dan ucapan Pemangku Pengerusi DPMM (Saudara Muhammad Izzat bin Abdul Hadi).
Pada jam 8:38 pagi MAT DPMM telah dirasmikan oleh Badan Pengurus Angkat Mansurah saudara Mohd Faizzudin bin Ghazali selaku Naib Presiden I (Ketua Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan), dalam ucapannya beliau menyebut tentang isu hak mahasiswa, perlu bangkit dan jangan takut untuk mempertahankannya serta menjiwai perasaan sahabat-sahabat yang dinafikan haknya.Beliau menambah lagi agar kita banyak bekerja dan kurang bercakap. Majlis perasmian disempurnakan dengan mengetuk ais sebagai gimik perasmian.
Pada jam 9.27 pagi, perarakan masuk barisan AJKT dan AJKH ke dalam dewan bagi memulakan sesi pertama Mesyuarat Agung Tahunan DPMM kali ke-19. Mesyuarat dikendalikan sepenuhnya oleh Pemangku Pengerusi DPMM, dimulai dengan perlantikan 4 orang setiausaha sidang dan 3 orang pengira undi. Seterusnya pembentangan minit mesyuarat dan pengesahan aktiviti tahunan unit-unit DPMM, bermula dengan Unit Kesenian, Kebudayaan dan Sukan sehingga Pengerusi DPMM. Pelbagai persoalan dan penjelasan diajukan kepada unit-unit yang terlibat. Setiap yang hadir memberikan respon yang baik dan memberangsangkan. Pembentangan laporan aktiviti semua unit berakhir pada jam 12:12 tengah hari .Seterusnya persidangan berhenti rehat seketika.Seterusnya mesyuarat diteruskan dengan agenda perbentangan laporan kewangan DPMM sepanjang sesi ini untuk disahkan. Alhamdulillah, pengesahan laporan kewangan tidak mengambil masa yang lama untuk disahkan dan persidangan diteruskan dengan sesi soal jawab mengenai laporan kewangan. Sebelum pengesahan laporan kewangan, pihak Suruhanjaya Pilihanraya melantik ahli sidang perwakilan sebagai pemerhati kiraan undi bagi pilihanraya kali ini.Sejurus selepas pengesahan penyata kewangan dan pembentangan anggaran belanjawan 2011/2012 majlis persidangan diteruskan dengan perlantikan juru audit.Juruaudit sesi 2011/2012 yang telah dilantik ialah Saudari Nurul Farhana binti Hamdan dan Saudara Muhamad Badruldin bin Ismail.
MAT pada kali ini telah menerima satu usul untuk dibahaskan iaitu usul bertajuk "Memperkasa Unit Hisbah" daripada saudara Mohd Ihsan bin Md Halid yang telah diperbahaskan pelbagai hujjah dan pencerahan. Walaupun terdapat pro dan kontra bagi usul yang dibawa akhirnya seluruh para perwakilan tidak menerima usul tersebut untuk dibawa bagi sesi 2011/2012 kerana usul tersebut berkait dan berulang dengan usul yang dibawa pada MAT kali ke-18.Agenda seterusnya yang dinanti-nantikan oleh ahli sidang mesyuarat iaitu sesi muhasabah dan cadangan bagi memperbaiki kekurangan serta memastikan perjalanan gerak kerja bagi kepimpinan sesi akan datang berjalan dengan lancar. Pihak kepimpinan menerima semua muhasabah dan cadangan yang dilontarkan dengan hati terbuka dan berusaha memperbaiki segala kekekurangan yang timbul, insyaAllah. Kepada semua yang memberikan respon diucapkan ribuan terima kasih. Agenda ini berakhir pada jam 3:35 petang.Sidang mesyuarat berehat untuk solat asar.
Sebelum mesyuarat melabuhkan tirainya, semua Ahli Jawatankuasa DPMM diberi kesempatan dan ruang waktu untuk memberikan ucapan terakhir, diikuti ucapan wakil penasihat DPMM Saudara Mohd Zuhdi bin Yahaya dan juga penutup oleh Badan Pengurus Angkat Mansurah saudara Mohd Faizzudin bin Ghazali. Semoga ukhuwah yang terjalin berterusan hingga kita bertemu di akhirat kelak, amin.
Sebelum berakhirnya agenda mesyuarat agung, majlis diteruskan lagi dengan pembubaran kepimpinan sesi ini dan SPR telah mengumumkan keputusan pertanding bagi borang A iaitu borang Pengerusi DPMM. Keputusan dengan 108 undi jatuh kepada Saudara Muhammad Aliffudin bin Ramlee sebagai Pengerusi sesi 2011/2012. Manakala untuk AJKT dan AJKH semua calon menang tanpa bertanding.Seterusnya ucapan penangguhan oleh Pengerusi DPMM sesi 2011/2012.Beliau mengharapkan seluruh ahli DPMM khususnya dapat memberi sepenuh kepercayaan di samping membantu pimpinan akan datang dalam sama-sama menggerakkan DPMM yang didokongi secara bersama.
Agenda terakhir yang menutup tirai Mesyuarat Agung Tahunan DPMM pada kali ini ialah penyampaian sijil penghargaan kepada semua wakil unit-unit khas dan ajk di bawah unit-unit DPMM yang melibatkan siswa dan disampaikan oleh Badan Pengurus Angkat Mansurah, Saudara Mohd Faizzudin bin Ghazali dan Saudara Mohd Hafizzul Azri bin Azman . Unit Khas yang terlibat ialah Unit Bait Muslim, Unit Hisbah, AKAR dan SKEMA, Info Mansurah, Jabatan Muzakarah Berkelompok, Nadi Ukkaz dan Unit Penyelarasan Beras. Mesyuarat dapat ditamatkan pada jam 5.30 petang.
Alhamdulillah, dengan berakhirnya mesyuarat Agung Tahunan DPMM kali ke 19 ini, maka berakhirlah kepimpinan DPMM untuk sesi 2010/2011.Persidangan telah berakhir sekitar jam 5:30 petang.
Pihak kami memohon ribuan kemaafan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan idea, tenaga dan wang. Semoga Allah mengganjari kalian.
Harapan kepada semua ahli DPMM supaya kita tetap bersatu hati menjaga kesatuan dan memberikan kepercayaan kepada barisan kepimpinan yang akan datang. Bertemu dan berpisah kita hanya kerana Allah.
" KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH "
Disediakan oleh,
Nur Adyana binti Mohamed
Setiausaha Utama
Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 19
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah sesi 2010/2011